SEPANG: Taktik menggunakan alamat pengirim dan penerima palsu serta nombor telefon yang tidak dapat dihubungi dikesan dalam cubaan mengeksport 12.675 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.014 juta menerusi perkhidmatan kurier ke sebuah negara di Eropah, Julai lepas.
Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) Aspalila Ag Tuah berkata alamat tertera pada empat bungkusan mengandungi dadah itu dikenal pasti di sekitar Lembah Klang, namun siasatan mendapati maklumat berkenaan adalah palsu.
"Mereka menggunakan alamat palsu dan nombor telefon yang diberikan juga tidak dapat dihubungi," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata pada masa ini, pihak berkuasa masih menyiasat negara tempat bunga ganja berkenaan diperoleh.
Aspalila berkata pada 13 Julai lepas, Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) LTAKL merampas empat bungkusan disyaki mengandungi bunga ganja di cawangan pusat mel dan kurier.
Beliau berkata pemeriksaan menemukan dadah berkenaan disembunyikan dalam bungkusan plastik lutsinar kedap udara yang diletakkan dalam kotak permainan kanak-kanak dan dipercayai untuk dieksport ke sebuah negara di Eropah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata dua bagasi mengandungi 47.8 kg bunga ganja bernilai RM3.824 juta yang disita pada 14 Julai didapati berada di bahagian Lost and Found Terminal 1 KLIA, kira-kira sebulan sebelum diperiksa.
Aspalila berkata bagasi berkenaan sepatutnya dibawa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Langkawi tetapi ditinggalkan dan tidak dituntut dalam tempoh 30 hari.
Ditanya sama ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang diteliti bagi mengenal pasti individu yang meninggalkan bagasi itu, Aspalila berkata semua sudut akan disiasat termasuk identiti dan kewarganegaraan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan bagasi berkenaan.
-- BERNAMA