MALAYSIA
Kastam Perlis rampas kanabis dan rokok bernilai RM2.95 juta

Ismail berkata kanabis itu ditemukan di kawasan beacon putih perairan pintu masuk Kuala Perlis semasa pemeriksaan dilakukan pihaknya di kawasan berkenaan pada 1 pagi, 7 Ogos. - Gambar fail/Bernama
KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas dadah jenis kanabis dan rokok tidak berkastam dalam tiga operasi berasingan dengan nilai keseluruhan lebih RM2.95 juta awal bulan ini.
Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata pihaknya merampas kanabis seberat 30 kilogram (kg) bernilai RM2.94 juga pada 7 Ogos lepas manakala pelbagai jenis rokok yang dipercayai tidak berkastam itu sebanyak 49,400 batang dengan nilai RM14,820 pada 6 dan 7 Ogos lepas.
Ismail berkata kanabis itu ditemukan di kawasan beacon (tanda arah suar) putih perairan pintu masuk Kuala Perlis semasa pemeriksaan dilakukan pihaknya di kawasan berkenaan pada 1 pagi, 7 Ogos.
"Hasil pemeriksaan telah menjumpai empat bungkusan guni yang ditinggalkan di atas beacon tersebut dan mendapati terdapat 146 bungkusan plastik lut sinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis ini," katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis dekat sini hari ini.Ismail berkata modus operandi dipercayai adalah meninggalkan bungkusan guni berisi dadah itu di kawasan beacon berkenaan yang kemudian akan diambil individu lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengenai rampasan rokok, beliau berkata pihaknya merampas 22,400 batang rokok disyaki tidak berkastam bernilai RM6,720 membabitkan cukai RM15,456 semasa pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Iswara di tepi Jalan Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis yang dipandu seorang lelaki pada 4.45 petang, 6 Ogos lepas.
"Lelaki berumur 54 tahun ini ditahan yang kemudiannya dilepaskan dengan jaminan Kastam sebanyak RM5,000," katanya.
Ismail berkata sebanyak 27,000 batang rokok lagi dipercayai tidak berkastam bernilai RM8,100 dan melibatkan cukai RM18,630 dirampas pihaknya di sebuah rumah tidak berpenghuni di kawasan belakang rumah kedai, Taman Kepala Batas di Kedah pada 3.30 pagi, 7 Ogos.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami