NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa susulan kejayaan merampas pelbagai jenis dadah dan pil khayal seberat 370.8 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM25.5 juta dalam serbuan di beberapa lokasi di Selangor bulan ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata dalam serbuan pada 20 Okt lepas, JKDM dengan kerjasama Pasukan Medan Tempur Operasi Kastam merampas pil Esctacy dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat kira-kira 269.75 kg bernilai RM19.8 juta.

Beliau berkata dua lelaki berumur 44 dan 57 tahun ditahan di stesen minyak di Damansara, Selangor, pada 9.30 malam dalam serbuan itu, dan hasil pemeriksaan ke atas lori suspek, pil-pil berkenaan ditemukan di dalam guni yang disorokkan dalam dua kotak kayu.

"Siasatan awal mendapati barang ini masuk menggunakan laluan udara dari sebuah negara Eropah kemudian transit di sebuah negara di Timur Tengah sebelum tiba di negara ini sebagai destinasi terakhir," katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, di sini hari ini.

Berdasarkan jumlah berat dadah diperolehi, menurutnya 1.35 juta orang dapat dicegah daripada penyalahgunaan dadah berkenaan, dan kes sedang disiasat di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu pada 11 Okt lepas, Sazali berkata seorang lelaki berumur 42 tahun ditahan di belakang sebuah premis di Petaling Jaya, Selangor bersama sebuah trak pengangkut, selepas Kastam menemukan dadah jenis Ketamin di dalam empat kotak yang dianggarkan seberat 91.05 kg bernilai kira-kira RM5.4 juta bersama lelaki itu pada pukul 4.30 petang.

"Bagi kes ini, 'dagangan' diikrarkan sebagai sebagai "Tiles Adhesive" dan alamat penerima ditukar saat akhir, sebelum penghantaran dibuat. Dagangan ini dimport melalui laluan udara dari negara Eropah dan tiba di negara ini sebagai destinasi terakhir," katanya.

Berdasarkan berat dadah berkenaan, dianggarkan 450,000 individu dapat diselamatkan daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kes disiasat di bawah seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sazali berkata susulan penahanan itu, dua hari kemudian pihaknya telah menemukan satu lagi kotak mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 10kg bernilai kira-kira RM330,000 yang disorok di dalam paket makanan anjing.

Beliau berkata kotak mengandungi dadah yang disorokkan ke dalam paket makanan anjing itu ditemukan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), untuk dihantar ke satu alamat sebuah rumah tidak berpenghuni di Petaling Jaya.

Siasatan awal mendapati ia dimport melalui laluan udara dari negara Eropah, yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi terakhir, dan kes disiasat di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA