NATIONAL
Kastam Sarawak rampas rokok, minuman keras tanpa cukai bernilai lebih RM1.62 juta

Norizan (tengah) menunjukkan barang rampasan ketika sidang media hari ini, mengenai rampasan rokok tanpa cukai dan minuman keras disyaki seludup dianggar bernilai lebih RM1.62 juta. - Gambar Bernama
KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas rokok tanpa cukai dan minuman keras disyaki seludup dianggar bernilai lebih RM1.62 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, pada 25 Feb lepas.
Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata dalam serbuan pertama pada 9 pagi di sebuah premis di Batu 9, Jalan Penrissen, pihaknya menemukan 120,740 batang rokok serta 6,826.27 liter minuman keras di premis berkenaan di samping turut menahan seorang lelaki tempatan.
Beliau berkata dalam serbuan kedua pada 9.45 pagi di Batu Kawa New Township pula, kastam menemukan 2,776.25 liter minuman keras manakala 331,520 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama serta 13,681.92 liter minuman keras dirampas dalam serbuan ketiga di sebuah premis di Taman Malihan.
"Seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pekerja di premis berkenaan juga ditahan dan kini dalam jaminan bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang media di Wisma Kastam di sini hari ini.Norizan berkata ketiga-tiga kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
"Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami