Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kastam Selangor gagalkan cubaan seludup komoditi RM114.35 juta

PELABUHAN KLANG, 30 Sept - Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Noraidah Ishak (dua, kiri) ketika sidang media di Bangunan JKDM Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang hari ini. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai komoditi termasuk barangan elektrik bernilai RM114.35 juta menerusi tiga operasi berasingan di sini dan Lembah Klang. - fotoBERNAMA (2026)
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Noraidah Ishak (dua, kiri) ketika sidang media di Bangunan JKDM Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai komoditi termasuk barangan elektrik bernilai RM114.35 juta menerusi tiga operasi berasingan di sini dan Lembah Klang.

Pengarahnya Noraidah Ishak berkata rampasan termasuk nilai duti dan cukai itu meliputi tiga kes dikesan pihaknya dalam serbuan Operasi Renjat, Operasi Sentinel dan Operasi Demeter.

Beliau berkata kes pertama melibatkan pemeriksaan yang dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) ke atas 30 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Klang antara 15 April hingga 15 Ogos lepas.

"Hasil pemeriksaan membawa penemuan 29,797 unit barangan elektrik dan 3,831 unit dapur gas yang dipercayai diimport tanpa Perakuan Kelulusan (OA) daripada ST.

"Nilai rampasan dianggarkan RM2.61 juta, manakala duti dan cukai bernilai RM812,426 dengan jumlah keseluruhan RM3.42 juta," katanya pada sidang media di pekarangan Bangunan JKDM Pelabuhan Utara, di sini hari ini.

Noraidah berkata kes kedua melibatkan pemeriksaan terhadap 15 kontena di Zon Bebas pelabuhan sama dan serbuan dua premis perniagaan di sekitar Lembah Klang antara 1 hingga 31 Julai lepas.

"Dalam operasi itu, sebanyak 135 juta batang rokok putih, 14,488.54 liter minuman keras dan 5,672 kilogram tembakau dirampas dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai RM105.31 juta.

"Siasatan awal mendapati barangan dagangan yang tidak diikrarkan dalam manifes bagi kontena berstatus transhipment itu berasal dari beberapa negara di Asia," katanya.

Beliau berkata kes ketiga melibatkan rampasan 394.74 tan besi buruk dan 558.94 tan sisa plastik yang diperiksa dalam 38 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Klang antara 15 hingga 31 Julai lalu.

"Semua besi dan sisa yang bernilai RM5.62 juta termasuk duti dan cukai itu dipercayai tiada permit import sah daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

"Modus operandinya adalah membuat pengimportan tidak benar dalam Borang Kastam dengan mengisytiharkan dagangan seperti enjin terpakai, kepingan tembaga, aloi aluminium dan plastik bagi mengelak dikesan JKDM," katanya.

Noraidah berkata ketiga-tiga kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a), Seksyen 133(1)(a), Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 52(1) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement