PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai barangan dagangan dan komoditi selepas merampas 63 kontena bernilai RM42.99 juta termasuk duti dan cukai, menerusi empat siri serbuan berasingan di sini.
Pengarah JKDM Selangor Noraidah Ishak berkata daripada jumlah itu rampasan terbesar melibatkan empat kontena bersaiz 40 kaki mengandungi 48,780,000 batang rokok putih bernilai RM37.56 juta termasuk duti dan cukai bernilai RM33.65 juta.
"Pemeriksaan ke atas kontena berstatus transhipment berasal dari sebuah negara di Asia pada 3 dan 10 Jun itu mendapati pihak syarikat gagal membuat sebarang pengikraran dalam manifes bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Tindakan tegas turut diambil terhadap kes kedua terbesar melibatkan penahanan 57 kontena berisi 1,190 tan metrik besi dan plastik sekerap bernilai RM4.96 juta termasuk duti dan cukai bernilai RM827,789,” katanya pada sidang media di pekarangan Bangunan JKDM Pelabuhan Utara, di sini hari ini.
Beliau berkata sitaan berkenaan melibatkan 13 kontena besi sekerap seberat 351.18 tan metrik bernilai RM1.79 juta serta 44 kontena plastik sekerap seberat 841.55 tan metrik bernilai RM2.34 juta yang disyaki tidak mempunyai permit import sah daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Menurut Noraidah, modus operandi kes berkenaan adalah membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam 1 sebagai acuan, kepingan plastik ABA, bahan aluminium, kepingan plastik polistetina, bahan tembaga dan polipropilena hancur.
“Selain itu, JKDM Selangor merampas 1,578.43 liter minuman keras pelbagai jenis bernilai RM409,917 termasuk duti dan cukai bernilai RM160,037 yang disembunyikan di sebalik dagangan alat ganti kenderaan terpakai bagi mengelakkan pemeriksaan.
“Bagi rampasan keempat, pihak berkuasa juga menyita sebuah kontena membawa 1,240 unit alat mainan seks bernilai RM52,500 yang diikrar secara palsu sebagai kerusi, beg pinggang, botol minuman dan pakaian dalam,” katanya.
Noraidah berkata barangan terbabit diklasifikasikan sebagai barang larangan mutlak yang cuba dibawa masuk dari sebuah negara di Asia sebelum dikesan anggota penguat kuasa semasa pemeriksaan fizikal di Pelabuhan Utara.
Kesemua kes melibatkan minuman keras, alat mainan seks serta besi dan plastik sekerap disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967, manakala kes rokok disiasat mengikut Seksyen 52(1) akta sama.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dalang, ejen penghantaran serta pemilik sebenar kesemua kontena berkenaan sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya.
Beliau turut menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM terdekat dengan jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan sepenuhnya.
-- BERNAMA