Skip to main content

Malaysia

Katak 'bullfrog' jadi punca rezeki

TELUK INTAN, 27 Mac -- Pengusaha ternakan haiwan, Chong Zheng Xian, 27, mengasingkan katak ‘Bullfrog’ untuk dijual kepada restoran ketika ditemui di Kampung Chui Chak baru-baru ini.  Di sebalik imejnya yang sering dianggap sebagai haiwan eksotik yang agak menggelikan dan menakutkan bagi sesetengah orang, namun tidak bagi sebuah keluarga di sini yang menjadikan katak lembu sebagai sumber rezeki mereka sejak lebih tiga dekad lepas.  Bermula dengan hanya 100 kolam, anak sulung daripada empat beradik itu berkat
Chong mengasingkan katak ‘Bullfrog’ untuk dijual kepada restoran ketika ditemui di Kampung Chui Chak baru-baru ini. - Gambar Bernama

TELUK INTAN: Berimej eksotik dengan rupa agak menjelikkan bagi sesetengah orang, namun buah sebuah keluarga di sini, katak lembu merupakan sumber rezeki mereka sejak lebih tiga dekad lepas. 

 Dimulakan oleh bapanya secara kecil-kecilan di Kampung Chui Chak pada pertengahan 1990-an, perusahaan ternakan amfibia tersebut yang diteruskan oleh Chong Zheng Xian kini berkembang pesat dengan permintaan semakin memberangsangkan. 

Advertisement

Bermula dengan hanya 100 kolam, anak sulung daripada empat beradik itu berkata mereka kini memiliki lebih daripada 500 kolam bersaiz satu meter persegi bagi memenuhi permintaan yang begitu tinggi, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Cina Malaysia tetapi juga negara jiran, Singapura.

“Permintaan akan meningkat terutamanya pada musim perayaan serta cuti hujung minggu. Kebiasaannya, katak ini dijadikan bubur atau sup herba tradisional yang menjadi hidangan popular sama ada di Malaysia atau Singapura,

“Pengeluaran dijalankan dua kali seminggu bagi memastikan bekalan katak mencukupi untuk pasaran tempatan dan eksport selain harga jualan sekitar RM25 hingga RM30 sekilogram bergantung pada saiz dan permintaan semasa,” katanya kepada Bernama. 

Dijual di sekitar Ipoh, Teluk Intan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur selain turut dieksport ke Singapura, pemuda kelahiran Teluk Intan itu berkata haiwan ternakan mereka turut diberikan vitamin tambahan bagi memastikan tahap kesihatan serta kualitinya terjamin sebelum sampai di tangan pelanggan.

Chong berkata haiwan amfibia itu memerlukan masa tujuh hingga lapan bulan untuk mencapai saiz matang dengan anggaran berat sekitar 250 hingga 300 gram seekor, dan setiap kolam mampu mengeluarkan hasil sekitar 700 hingga 1,400 kg setiap minggu.

“Penternakan dilaksanakan secara sistematik. Kira-kira 400 kolam dikhususkan untuk katak berusia tiga hingga lapan bulan manakala selebihnya untuk peringkat telur hingga berudu yang memerlukan pemantauan rapi bagi memastikan pengeluaran berkembang secara optimum.

“Pengasingan mengikut saiz dan umur ini sangat penting kerana katak yang lebih besar berpotensi memakan telur atau anak dan ini akan menjejaskan hasil,” katanya.

Selain dijual untuk tujuan makanan, Chong berkata sebahagian katak berusia tiga hingga empat bulan turut dipasarkan sebagai umpan atau makanan ikan hiasan dengan permintaan mingguan dianggarkan antara 4,000 hingga 6,000 ekor.

Mengenai perancangan masa depan, Chong yang mula menceburi bidang itu lima tahun lepas, berkata mereka bercadang untuk menambah bilangan kolam bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran sekali gus memenuhi permintaan pasaran tempatan dan Singapura yang semakin meningkat.

“Buat masa ini, saya dibantu empat pekerja dari Kemboja dan Indonesia untuk memastikan kebersihan kolam, pemberian makanan dan pengasingan katak berjalan lancar setiap hari.

“Jika hendak besarkan perniagaan ini memerlukan pelaburan modal lebih besar, pengurusan yang rapi serta tenaga kerja terlatih bagi memastikan setiap kolam diurus dengan baik dan pengeluaran katak kekal berkualiti,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video