PUTRAJAYA: Kaunter perkhidmatan pusat sehenti program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) mula beroperasi di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di sini hari ini, demikian menurut MOTAC.

MOTAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pengoperasian kaunter tersebut di Aras 1 kementerian itu adalah susulan notis makluman pengoperasian pusat MM2H di Jabatan Imigresen (JIM) yang telah tamat pada 15 Dis 2023.

Perkhidmatan kaunter itu melibatkan proses permohonan lanjutan pas, pindah pas, pengeluaran pas khas bagi kes menunggu keputusan dan lain-lain urus niaga harian yang berkaitan dengan pemegang pas MM2H sedia ada, kata MOTAC.

"Permohonan baru mengikut terma-terma yang terkini akan ditetapkan secepat mungkin," menurut MOTAC.

Kaunter perkhidmatan itu beroperasi mulai 8 pagi hingga 1 tengah hari dan 2 petang hingga 5 petang pada hari Isnin hingga Khamis, Jumaat mulai 8 pagi hingga 12.15 tengah hari sebelum dibuka semula pada 2.45 petang hingga 5 petang dan tidak dibuka pada hujung minggu dan cuti am.

MOTAC memaklumkan semua urusan permohonan adalah perlu melalui ejen MM2H yang berdaftar sahaja.

"MOTAC sentiasa komited menambah baik perkhidmatan kaunter khidmat pelanggan dan memperkasa program MM2H agar ia dapat menjana ekonomi negara di samping mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa," katanya.

Program MM2H diperkenalkan pada 2002 yang membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia untuk tempoh yang lama. Program itu dibekukan sementara pada Ogos 2020 bagi memberi ruang kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan MOTAC mengkaji serta menilai semula program berkenaan secara komprehensif.

Sejak Oktober 2021, permohonan baharu MM2H dikendalikan JIM merangkumi urusan berkaitan perkhidmatan pemprosesan permohonan sedia ada dan logistik.

-- BERNAMA