KUCHING: Bermula hari ini sehingga 7 Jun ini, kawalan pergerakan tambahan akan dilaksanakan di Sarawak sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 di negeri ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan semalam memberitahu kawalan tambahan itu termasuk mengehadkan hanya tiga orang dalam kenderaan persendirian, manakala perkhidmatan pengangkutan dibenar beroperasi pada kadar 50 peratus kapasiti penumpang.

"Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenar keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak tanpa alasan munasabah. Penggunaan (aplikasi) MySejahtera hendaklah diutamakan dengan operator premis hanya membenarkan mereka yang mempunyai risiko rendah masuk ke premis mereka," katanya semalam.

Zon Kuching yang sebelum ini melibatkan Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian juga akan dipecahkan kepada Zon Kuching yang melibatkan daerah Kuching dan Bahagian Samarahan, Zon Serian (Bahagian Serian), Zon Lundu (daerah Lundu) dan Zon Bau (daerah Bau).

"Pergerakan antara zon-zon ini dibenarkan bagi perkhidmatan perlu, orang yang bekerja dan kecemasan dengan memerlukan permit polis. Penduduk yang bekerja tetap di zon-zon ini yang terkesan dengan perubahan ini adalah dikecualikan daripada keperluan swab test (ujian calitan) setiap 14 hari sekali serta dibenarkan mendapatkan permit polis dengan mengemukakan surat dari majikan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut tempoh operasi bagi semua sektor di negeri ini adalah di antara jam 6 pagi dan 8 malam sahaja dan kehadiran pekerja di pejabat yang tidak termasuk petugas barisan hadapan adalah 20 peratus bagi sektor awam dan 60 peratus bagi sektor swasta.

"Mesyuarat bersemuka bagi urusan rasmi/kerja adalah tidak dibenarkan," menurut kenyataan itu dan menambah semua aktiviti sukan bagi tujuan latihan dan penganjuran pertandingan atau kejohanan serta rekreasi awam adalah tidak dibenarkan kecuali joging dan senaman yang dilaksanakan secara individu.

Sarawak pada Isnin mencatat 530 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 42,813 kes dan tiga kematian baharu akibat jangkitan itu, sekali gus jumlah kematian meningkat kepada 255 orang.

Dalam kenyataan sama, Jabatan Kesihatan Sarawak mengisytiharkan Kluster Selumit di Tanjung Manis sebagai kluster baharu di negeri itu yang dikesan melibatkan sebuah agensi perkhidmatan awam di pusat pentadbiran kerajaan di kawasan itu.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa di Rumah Panjang (Rh) Nyalu Anak Francis di Mukah; Blok A RPR Bandaria Park dan Kuarters Pekerja Harwood Timber Sdn Bhd di Bintulu; serta Rh Johnson dan Rh Noel di Sri Aman dari 23 Mei hingga 7 Jun.

Perintah yang sama juga dikenakan di Lidi, Ulu Babu dan Rh Chunggat di Betong bermula semalam hingga 6 Jun.

-- BERNAMA