Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang memilih jalan mudah merentasi sempadan negara.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Sri Khazali Ahmad berkata pihaknya kini sedaya upaya menangani persepsi kononnya penguatkuasa sempadan negara dengan mudah membenarkan individu keluar masuk negara ini.

"Ini persepsi, senyum dan boleh angkat tangan itu semua persepsi. Kita sentiasa cuba elakkan kerana nak urus persepsi ini bukan sesuatu yang mudah. Kita (JKDM) pun telah beri arahan bahawa tidak ada lagi isu 'angkat tangan' ini.

"Ditambah isu seludup minyak masak ini, jangan main-main angkat tangan lagi. Walaupun orang itu kita kenal, kita kena memeriksa supaya seperti arahan yang saya sendiri keluarkan, walaupun hanya satu kilogram minyak masak di bawa keluar negara, kita mesti rampasnya," tegas Khazali ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Malah, pihaknya juga tidak akan memberi muka kepada mana-mana anggota penguatkuasa sempadan yang menjadi dalang penyeludupan barangan bersubsidi ke negara asing.

"Saya sentiasa ingatkan anggota dan pegawai supaya sentiasa berintegriti dalam melaksanakan tugas dan jangan sewenangnya menjalankan tugas tanpa prihatin terhadap isu yang tengah berlaku.

"Kepada rakyat Malaysia yang sentiasa membawa keluar barang-barang bersubsidi ini ke luar negara, hentikan sebab ia tidak memberikan kebaikan kepada negara ini," ujarnya.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang, Kelantan dan Bukit Kayu Hitam, Kedah mendapati kenderaan di dua laluan itu mudah keluar masuk ke Thailand berikutan tiada pemeriksaan ketat.

Situasi tersebut dilihat memberi ‘ruang’ kepada penyeludup untuk membawa keluar barangan bersubsidi khususnya minyak masak.