BESUT:Tiga kampung di Mukim Pasir Akar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula esok akan dikawal ketat dengan kesemua 13 laluan tikus dipasang pagar kawat duri dan penghadang jalan sementara.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, kerja-kerja pemasangan pagar kawat duri di Kampung Lepan Kejor, Kampung Darau-Awek dan Kampung Padang Baloh itu bermula 3.30 petang dan selesai pada kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

"Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terlibat dalam penugasan memasang kawat tersebut, petang tadi.

"Sementara itu, seramai 58 anggota melibatkan ketiga-tiga pasukan keselamatan itu akan bertugas secara bergilir-gilir di lokaliti terbabit sepanjang tempoh PKPD yang bermula esok hingga 27 Feb," katanya ketika meninjau kerja pemasangan kawat duri di Kampung Padang Baloh, di sini hari ini.

Tiga Sekatan Jalan Raya (SJR) sedia ada di pintu masuk utama ke lokaliti tersebut akan terus diadakan selain kawalan oleh Unit Ronda Bermotosikal (URB) di sekitar laluan tikus.

"Sepanjang PKPD ini dijalankan, kita tidak membenarkan mana-mana penduduk keluar dari kawasan ini kecuali kes-kes kecemasan dengan kebenaran ketua polis daerah namun keputusan itu berdasarkan kepada arahan terkini Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Laluan utama Pasir Akar akan ditutup kepada semua pengguna jalan raya mulai 12.01 tengah malam ini manakala penduduk kampung lain di Pasir Akar yang mempunyai urusan ke Jerteh perlu melalui jalan alternatif iaitu Jalan Kampung Oh atau Jalan Padang Tapong," katanya.

Pengumuman keputusan melaksanakan PKPD di lokaliti itu dikeluarkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam susulan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung situasi jangkitan COVID-19 di tiga kampung berkenaan.

Ismail Sabri berkata melalui 570 ujian saringan yang dijalankan, terdapat 21 kes positif COVID-19 telah direkodkan di ketiga-tiga lokaliti tersebut.

-- BERNAMA