PUTRAJAYA: Aktiviti mengimarahkan masjid dilihat dapat melahirkan golongan belia yang berdisiplin, penuh ilmu sahsiah jati diri sebagai pelapis masa dengan negara.
Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, kementeriannya turut berhasrat melebarkan kerjasama dengan rumah ibadat agama lain sebagai inisiatif agenda pembangunan belia.
Advertisement
Menurutnya, cadangan itu akan merangkumi tokong, kuil, wat, gereja dan rumah ibadat lain bagi memastikan sahsiah jati diri belia dapat dibentuk tanpa mengira agama dan bangsa.
“Tidak terhenti di masjid semata-mata, KBS turut akan bekerjasama dengan rumah ibadat lain...semua pihak perlu dibentuk sahsiah jati diri untuk menjadi pemimpin masa depan yang berkualiti,” katanya ketika sidang media di majlis pra-peluncuran Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan di sini hari ini.
Malah Taufiq turut menyatakan pihak KBS sentiasa terbuka terhadap semua pihak yang mempunyai matlamat ke arah perpaduan melibatkan golongan belia.
Tegasnya, peranan belia adalah penting dalam menyatukan masyarakat ketika menghadapi cabaran berbentuk sifat perkauman.
“Sekiranya ada keretakan melibatkan kaum, golongan belia yang harus menjadi jambatan atau penghubung untuk memastikan keharmonian negara kekal,” katanya.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Menyentuh mengenai program tersebut, Taufiq berkata, pelbagai pengisian melibatkan kerjasama antara kedua-dua kementerian telah dirangka untuk para belia.
“Kementerian Hal Ehwal Agama boleh mengisi program-program kerohanian manakala KBS akan menyediakan program kepimpinan di peringkat masjid,” katanya.
Tambahnya, kemuncak program tersebut ialah Iftar MADANI bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Februari depan yang dijangka menghimpunkan kira-kira 10,000 pengunjung daripada pelbagai lapisa masyarakat.
Pada masa sama, Taufiq turut menyatakan Program Rakan Muda Ramadan akan melibatkan 15 buah negeri dan 113 buah daerah di seluruh negara melibat 5,800 peserta.