KBS, JPM Hal Ehwal Agama komited perkukuh pembangunan belia

Sidang media Dr Mohammed Taufiq bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pada Selasa. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada Selasa menyatakan komitmen untuk memperkukuh fungsi masjid dalam usaha memantapkan pembangunan belia menerusi program Rakan Muda.
Ringkasan AI
- KBS dan Jabatan Perdana Menteri komited memperkukuh fungsi masjid melalui program Rakan Muda untuk pembangunan belia yang berdaya saing.
- Pembangunan negara menuntut belia terlibat sejak awal untuk menjadi pelapis kepimpinan masa depan.
- Usaha ini juga melibatkan inisiatif di rumah ibadat lain selain masjid, seperti tokong dan kuil, demi melahirkan generasi muda sihat, berdaya tahan, dan berakhlak.
"Masjid juga boleh menjadi tempat perhimpunan anak muda bagi mencetuskan idea baharu yang bernas, selain berfungsi sebagai ruang untuk aktiviti kesukanan dan kemasyarakatan sekali gus melahirkan belia yang lebih sihat dari segi jasmani dan rohani," katanya pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan di sini pada Selasa.
Terdahulu, perbincangan lebih satu jam antara kedua-dua menteri itu antara lain menyentuh peranan masjid dalam membangunkan potensi golongan belia melalui program Rakan Muda.
Beliau berkata KBS juga terbuka untuk memperluas inisiatif sedemikian di rumah ibadat lain seperti tokong dan kuil selaras dengan keperluan untuk melahirkan generasi muda yang sihat, berdaya tahan dan berakhlak.
"Sasaran kita adalah belia seluruh Malaysia, dan yang keduanya ialah merentas agama, maknanya bukan hanya belia beragama Islam tetapi juga bukan Islam. Perincian mengenai pelaksanaan dan jenis program akan diumumkan pada 16 Feb depan," katanya.
Sementara itu Zulkifli berkata pendekatan yang lebih proaktif, progresif dan bersifat kolaboratif menjadi asas kepada pelaksanaan inisiatif kerjasama itu antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan KBS.
"Kita cuba untuk mengubah pendekatan kepada yang lebih proaktif, progresif, dinamik iaitu kita tidak boleh lagi melakukannya secara berasingan. Kita kena bekerjasama dengan KBS bagi mengukuhkan lagi gerak kerja.
"Apa yang kita cuba lakukan bukan hanya untuk kerohanian tetapi juga untuk membina negara dan membina perpaduan. Kita memastikan bahawa bukan hanya bercakap tentang aspek orang Islam sahaja, tetapi kita ingin memperkukuh lagi interaksi antara semua agama dan kaum," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


