Skip to main content

Malaysia

KBS perkasa agensi anti-doping Malaysia hadapi Sukan SEA 2027

KUALA TERENGGANU, 18 April -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Fiesta Rakan Muda Terengganu 2026 di Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu hari ini.  Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim (empat, kiri). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Mohammed Taufiq (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Fiesta Rakan Muda Terengganu 2026 di Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu. - Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang memperkasa agensi-agensi di bawah kementerian itu, terutama Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) sebagai persiapan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata Malaysia dijangka menjadi tuan rumah Sukan SEA pertama yang akan mengguna pakai Kod Anti-Doping Dunia.

Advertisement

Beliau berkata antara langkah yang akan dilakukan adalah program jelajah bersama ADAMAS bagi memberikan penjelasan dan penerangan kepada persatuan-persatuan sukan, bagi memastikan atlet negara tidak terlibat dalam kes doping secara tidak sengaja.

“Tahun depan kita menjadi tuan rumah (Sukan SEA). Jadi, kita mahu yang terbaik, bukan sahaja mencapai sasaran pingat yang banyak tetapi yang paling penting adalah pelaksanaan temasya itu haruslah sukan yang bersih dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Fiesta Rakan Muda X Play True Day Peringkat Terengganu 2026 dan Kompleks Sukan Air Terengganu di Kompleks Sukan Air Terengganu di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim.

Sebelum ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata langkah strategi yang dipacu oleh Malaysia itu akan memastikan Sukan SEA 2027 mematuhi sepenuhnya piawaian Agensi Anti-Doping Dunia, sekali gus meningkatkan integriti dan kedudukan temasya itu di peringkat antarabangsa.

Dr Mohammed Taufiq dalam pada itu berkata Malaysia telah bersedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah edisi ke-34 temasya itu, terutama aspek infrastruktur.

Beliau berkata kerajaan akan melakukan penjimatan dan tidak berbelanja besar bagi penganjuran temasya itu, namun kualiti atlet serta sukan yang dipertandingkan tidak akan diabaikan.

“Kami tidak akan berbelanja mega. Tidak akan ada perbelanjaan melibatkan pembangunan besar. Kami hanya ‘naik taraf’ sedikit sebanyak. Berkenaan dengan infrastruktur, semua infrastruktur kita mencukupi dan kita bersedia menganjurkan Sukan SEA 2027,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Dr Mohammed Taufiq berkata pembangunan Kompleks Sukan Air Terengganu di Pulau Duyong di sini yang berkeluasan 60,000 kaki persegi itu menjadi satu mercu tanda yang bakal memperkasakan pembangunan sukan air secara lebih tersusun dan berimpak tinggi di Terengganu.

Kompleks yang pertama seumpamanya di Terengganu itu juga menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI dalam pembangunan belia di negeri berkenaan.

 -- BERNAMA

 

 

Must Watch Video