IPOH: Kapal Diraja (KD) Lekiu terus memainkan peranan dalam mendukung Tonggak ke-3 Strategi Pertahanan Negara iaitu Perkongsian Berwibawa melalui aktiviti diplomasi pertahanan dengan menyertai Latihan Maritim ASEAN-India (AIME) 2023.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kenyataan memaklumkan selari dengan objektif AIME, kerjasama pertahanan dan kebolehoperasian bersama angkatan laut negara ASEAN dan India dalam menangani ancaman maritim di rantau ini, dimanifestasikan KD Lekiu melalui pelaksanaan operasi maritim pelbagai dimensi dengan mempraktikkan Kod Pertemuan Tidak Dirancang di Laut (CUES).

"Eksesais ini juga turut menjadi medan warga TLDM berinteraksi dan mengemaskini pengetahuan bersama peserta negara sahabat, selain berperanan dalam meningkatkan kompetensi melalui pelaksanaan latihan di lapangan berkonsepkan keselamatan maritim," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyatakan penglibatan KD Lekiu mampu mengukuhkan peranan TLDM sebagai duta kecil negara yang mempromosikan diplomasi pertahanan, di samping mengerat dan memperkukuhkan kerjasama serantau.

Menurut kenyataan itu TLDM sebagai rakan berwibawa di rantau ini terus diiktiraf meskipun dibelenggu dengan isu keusangan aset yang berpanjangan.

"Sewajarnyalah, peningkatan keupayaan aset TLDM disegerakan agar setanding, jika tidak lebih baik, dengan angkatan laut sahabat bagi memastikan kita kekal relevan di persada antarabangsa dan serantau," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, AIME 2023 yang dianjurkan bersama Tentera Laut Republik Singapura dan Tentera Laut India berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Changi, Singapura dan perairan Laut China Selatan pada 2 Mei hingga semalam.

Eksesais multilateral yang julung kali dianjurkan ini adalah hasil kesepakatan daripada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-16 di Phnom Penh, Kemboja pada 22 Jun lepas.

Eksesais kali ini turut diadakan seiring dengan penganjuran Pameran dan Persidangan Pertahanan Maritim Antarabangsa (IMDEX) oleh Singapura pada 3 hingga 5 Mei lepas.

IMDEX merupakan pameran maritim antarabangsa yang diadakan sejak 1997, melibatkan 22 kapal, enam pesawat dan 1,800 peserta dari pelbagai negara.

-- BERNAMA