MALAYSIA
KDEBWM lancar mesin kitar semula, tukar barang kepada wang tunai

Ramli (kiri) ketika demontrasi pengunaan Stesen Kitar Semula selepas Majlis MoA di antara KDEB West Management dengan HMA Digital Malaysia dan Melancarkan RVM hari ini. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: KDEB Waste Management (KDEBWM) hari ini melancarkan mesin kitar semula Reverse Vending Machine (RVM) Pintar 5 Dalam 1 yang menawarkan ganjaran wang tunai kepada pengguna yang menghantar barangan kitar semula sebagai insentif.
Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir berkata mesin kitar semula pertama di negara ini dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), membolehkan pengguna mengitar semula lima jenis bahan utama iaitu plastik, kotak, kertas, aluminium, dan minyak masak terpakai.
"Mesin ini dilengkapi sistem canggih seperti sensor yang akan mengesan setiap jenis barangan kitar semula dan akan memaklumkan pusat operasi sekiranya mesin berkenaan telah penuh dengan kapasiti 750 kilogram bahan buangan.
"Mesin ini juga dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam individu yang cuba melakukan penipuan atau merosakkan mesin, yang akan beroperasi 24 jam sehari," katanya.Ramli berkata penggunaan mesin itu menandakan sokongan berterusan KDEBWM terhadap inisiatif hijau dan kelestarian alam sekitar di Selangor, dengan sasaran 100 unit mesin akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pejabat kerajaan, pasar raya, dewan komuniti, pusat ibadah dan tempat awam lain pada suku pertama tahun hadapan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara KDEB Services Sdn Bhd dengan HMA Digital yang diwakili Pengerusinya Datuk Baharon Talib serta, pelancaran RVM Pintar 5 Dalam 1 di Ibu Pejabat KDEBWM di sini hari ini.
Ramli berkata pihaknya akan terus merangka pelbagai inisiatif sebagai langkah strategik mendidik serta menggalakkan masyarakat melaksanakan kitar semula secara lebih konsisten pada masa akan datang.
"Melalui teknologi inovatif seperti RVM ini, kami yakin dapat menyahut aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk mencapai sasaran kadar kitar semula 15 peratus di seluruh Selangor.
"Ia juga mampu menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam usaha menguruskan sisa mampan serta memacu negeri ini ke arah pembangunan hijau dan lestari," katanya.
Ramli berkata pelaksanaan RVM Pintar 5 dalam 1 mulai tahun depan akan mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah yang sebelum ini dipenuhi dengan bahan kitar semula.
Ramli berkata masyarakat perlu sedar bahawa mereka boleh mengurangkan jumlah sampah yang dibuang setiap hari dengan mengasingkan bahan kitar semula, sambil menjana pendapatan secara langsung.
"Sekiranya inisiatif ini mencapai kadar 10 atau 20 peratus, ia bermakna sampah yang dihasilkan seluruh negeri dapat dielakkan daripada berakhir di tapak pelupusan atau loji sisa kepada tenaga (WTE). Sebahagiannya boleh ditukarkan terus kepada wang tunai.
"Selain itu, usaha ini juga menjimatkan kos pembuangan sampah di tapak pelupusan atau WTE. Semakin tinggi kadar kitar semula, semakin tinggi penjimatan dicatatkan," katanya.
Melalui RVM Pintar 5 Dalam 1, pengguna boleh mendaftar dengan nombor telefon bimbit, memasukkan bahan kitar semula seperti kertas, plastik, aluminium, kotak kertas dan minyak masak terpakai, sebelum mesin menimbang dan merekodkan transaksi secara automatik.
Ramli berkata pengguna yang menghantar bahan kitar semula akan menerima bayaran terus ke akaun bank masing-masing dalam tempoh singkat selepas transaksi, sekali gus menggalakkan rakyat melihat sisa bukan sebagai sampah, tetapi sebagai sumber bernilai.
"Sebagai permulaan, RVM Pintar 5 Dalam 1 pertama telah mula beroperasi di Taman Wawasan, Puchong sejak Ogos lalu sebagai projek rintis," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami