MALAYSIA
KDN akan tubuh pasukan petugas bincang hal sempadan pasca PKP - Hamzah

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin meninjau Jambatan Muhibah yang menghubungkan Malaysia dan Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang. - Foto BERNAMA
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menubuhkan satu 'pasukan petugas' yang melibatkan beberapa kementerian berkaitan untuk membincangkan kawalan di sempadan negara bagi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata ia penting bagi memantau pergerakan individu yang mungkin cuba keluar dan masuk ke Malaysia tanpa melalui laluan yang sah, sekali gus kembali merisikokan rakyat walaupun wabak COVID-19 mereda selepas tamat tempoh PKP.
"Kita akan tubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji perkara ini dan ia akan membabitkan beberapa kementerian, antaranya Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Kita belajar daripada pengalaman China kerana walaupun selepas kawalan pergerakan dilaksanakan di negara tersebut, wabak berkenaan masih berlaku. (Pergerakan tanpa kawalan ketat di sempadan) boleh menyebabkan wabak kembali meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) di sini selepas meninjau sempadan Malaysia -Thailand di Tumpat dan Pasir Mas, hari ini.
Ditanya adakah kerajaan akan menyegerakan pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengurangkan aktiviti penyeludupan seperti yang pernah dicadangkan beberapa tahun lepas, beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
Beliau berkata ini kerana sepanjang tinjauannya mendapati terdapat 88 laluan tikus yang digunakan oleh penyeludup untuk menyeludup pelbagai barangan di sepanjang Sungai Golok di Tumpat dan Pasir Mas ketika ini.
"Laluan tikus dan pangkalan ini pula sering berubah-ubah pada setiap masa dan ia memerlukan satu strategi yang berkesan dalam menangani masalah penyeludupan yang berlaku di sempadan sejak sekian lama," katanya.
Mengulas mengenai semakin ramai yang memilih menggunakan perkhidmatan domestik udara untuk ke satu-satu destinasi ketika PKP dilaksanakan kini, beliau berkata kerajaan akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) di lapangan terbang.
"Ia akan dibawa ke mesyuarat harian jemaah menteri (mengenai PKP) kerana lapangan terbang berada di bawah Kementerian Pengangkutan. Setakat ini pengguna lapangan terbang hanya diperiksa suhu badan sahaja.
Bagaimanapun mana-mana pihak yang ingin ke sesuatu destinasi perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Daerah kawasan masing-masing sebelum mereka dapat memulakan perjalanan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami