KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang memperhalusi cadangan pindaan kepada Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membendung jenayah siber.

Katanya, pindaan itu bertujuan memastikan kerangka perundangan kekal relevan dan berupaya menangani masalah itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, cadangan itu kini sedang menunggu pandangan dan ulasan daripada Jabatan Peguam Negara.

“Walaupun kerangka perundangan telah memberikan kuasa kepada PDRM dalam menangani jenayah siber, namun teknologi maklumat dan komunikasi berkembang dengan begitu pesat... sentiasa wujud ruang dan keperluan untuk tambah balik kerangka perundangan.

“Buat masa ini, kementerian telah menerima beberapa cadangan daripada PDRM untuk melakukan pindaan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Perkara ini sedang kita perhalusi dan perlu mendapat ulasan dan pandangan daripada pelbagai pihak terutama Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Tambahnya, jenayah siber menjadi semakin kompleks seiring perkembangan teknologi, memerlukan pindaan kepada akta untuk memastikan ia kekal relevan.

Selain itu katanya kepakaran serta pengetahuan anggota serta pegawai PDRM dalam menyiasat kes jenayah siber dan digital sentiasa dipertingkat selain keupayaan makmal forensik digital PDRM turut diperkasa dari semasa ke semasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Ismi Mat Taib (PN - Parit) berhubung kemahiran dan keupayaan anggota PDRM serta kemampuan makmal forensik siber dalam menangani jenayah siber.