KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan merampas 4,320 unit al-Quran bernilai RM250,000 dalam Op Mulia bermula awal Ramadan hingga semalam.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata rampasan itu melibatkan pelbagai jenis al-Quran termasuk dalam bentuk teks dan elektronik yang tidak mempunyai kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), KDN.

Beliau berkata serbuan dilakukan terhadap premis perniagaan dan persendirian hasil risikan serta pemantauan terhadap premis serta individu sasaran.

"Op Mulia adalah kesinambungan daripada operasi-operasi yang dijalankan di seluruh negara melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986.

"Selain jualan di premis perniagaan, kita turut membuat rampasan terhadap peniaga dan individu yang menjalankan aktiviti jualan secara dalam talian," katanya dalam sidang media di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Terengganu di sini, hari ini.

Menurut Nik Yusaimi, hasil siasatan mendapati al-Quran tersebut dibawa masuk ke negara ini dari negara seberang berikutan peningkatan pemintaan secara mendadak ketika Ramadan.

Justeru beliau menasihati orang ramai supaya menyemak perakuan dan memastikan terdapat hologram KDN pada naskah al-Quran sebelum membuat pembelian.

"Amalan membaca al-Quran yang tidak mendapat kelulusan LPPPQ dikhuatiri akan mengelirukan masyarakat kerana ia mungkin berkaitan teks al-Quran, sebutan, bacaan dan maksud yang tidak tepat kerana tidak melalui proses semakan dan ditentusahkan oleh pakar.

"Oleh yang demikian masyarakat di luar sana dinasihatkan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti membeli, memiliki, menerbit dan menjual teks atau bahan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan kerana boleh dihukum sehingga lima tahun penjara dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan," katanya.

-- BERNAMA