AYER KEROH: Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, Datuk Noor Effandi Ahmad tergugur secara automatik selepas terang-terangan menyatakan hilang sokongan dengan kerajaan negeri.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, ia susulan tindakan berkenaan bertentangan dengan dasar parti.

“Kalau ikut perlembagaan Bersatu, sama sahaja parti lain yang mana juka pemimpin membuat ketetapan bertentangan dasar parti dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), keahliannya tergugur.

“Tetapi bukan atas memecat, apabila dia bersama PH, itu sudah cukup untuk tergugur secara automatik, bukan dipecat,” katanya dalam sidang media di Ayer Keroh hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengakui kesal dengan kemelut politik yang berlaku sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dilakukan.

Katanya, PN Melaka berpendirian sepatutnya segala fokus ketika ini harus diberikan kepada usaha-usaha memulihkan negara dan negeri daripada pandemik COVID-19.

“Kita maklum, proses pemulihan ketika ini sedang berjalan dan sudah mula menampakkan hasil kepada negara dan negeri.

“Proses jni tidak harus terganggu disebabkan tindakan sesetengah pimpinan parti politik yang meletakkan kepentingan peribadi dan kuasa melebihi nyawa, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat Melaka,” tambahnya.

BACA: DUN Melaka dibubar - Speaker

[TERKINI] Sidang media Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohidee

Semalam, Noor Effandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas antara empat wakil rakyat yang menyatakan hilang sokongan terhadap kepimpin Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiga yang lain ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu).

Ekoran kemelut itu juga, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas berkuatkuasa semalam.