Lebih 9,300 rakyat Palestin ditahan di penjara Israel sehingga Februari 2026

Jumlah tahanan itu termasuk 56 banduan wanita, yang dua daripada mereka di bawah umur, serta 350 kanak-kanak yang ditahan di penjara Megiddo dan Ofer. - AP
RAMALLAH: Persatuan Tahanan Palestin (PPS) menyatakan bahawa lebih 9,300 rakyat Palestin kini ditahan di dalam penjara Israel sehingga permulaan Februari 2026, menurut data daripada organisasi hak asasi tahanan dan Perkhidmatan Penjara Israel.
Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan bahawa menurut PPS, jumlah tahanan tersebut termasuk 56 banduan wanita, yang dua daripada mereka adalah di bawah umur, serta 350 kanak-kanak yang ditahan di penjara Megiddo dan Ofer.
Data menunjukkan bahawa jumlah tahanan pentadbiran, iaitu mereka yang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan, mencecah 3,358 orang, iaitu peratusan tertinggi berbanding banduan yang telah dijatuhkan hukuman, mereka yang ditahan dalam tahanan reman, dan mereka yang diklasifikasikan oleh Israel sebagai "pejuang yang tidak sah."
Menurut kenyataan itu, jumlah mereka yang diklasifikasikan sebagai "pejuang yang tidak sah" mencecah 1,249 orang.
Angka ini tidak termasuk semua tahanan Gaza yang ditahan di kem tentera Israel dan diklasifikasikan di bawah kategori yang sama, serta turut merangkumi tahanan Arab dari Lubnan dan Syria.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

