MELAKA: Tugas anggota keselamatan dalam memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara banyak menyumbang kepada minat syarikat besar luar negara untuk melabur di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sumbangan anggota keselamatan termasuk polis dan tentera, tidak boleh dipandang rendah memandangkan mereka bertungkus lumus menjaga sempadan negara dan mengawal perbatasan laut.

"Jangan lupa, kalau negeri tidak aman, orang tidak datang. Di Sudan, di Pakistan tidak ada pelaburan baharu sebaliknya di Malaysia banyak pelaburan baharu kerana keamanan dijamin polis," katanya ketika berucap pada program Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani Masyarakat Bersama Polis peringkat Parlimen Tangga Batu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Anwar berkata keamanan dan kestabilan politik negara, secara tidak langsung menarik minat syarikat besar seperti Geely, Amazon dan Rongsheng Petrochemical Co Ltd untuk melabur dengan jumlah pelaburan melibatkan berbilion ringgit.

Anwar turut mengulangi kenyataannya bahawa negara mampu membangun sebagai gergasi ekonomi baharu jika kestabilan politik dikekalkan dan ketelusan diamalkan dengan mengelakkan amalan sakau menyakau dan tabiat pemimpin membina 'mahligai' masing-masing.

"Suku tahun pertama 2023, pertumbuhan ekonomi kita terbaik di Asia, mengatasi China, Indonesia dan Vietnam. Pelaburan (Malaysia) sekarang ini tertinggi di ASEAN," kata beliau.

Sehubungan itu Anwar berkata tekad beliau ketika ini adalah untuk memastikan negara dibersihkan daripada amalan rasuah, walaupun terdapat pihak yang mendakwanya sebagai berdendam.

"Saya bukan berdendam, saya cuma ingin membersihkan negara daripada rasuah," katanya.

-- BERNAMA