Selepas lebih 160 jam bertungkus lumus, akhirnya kebakaran di Gunung Kenderong dan sekitar kawasan hutan di Kampung Pong, Gerik, kira-kira 170 kilometer berjaya dipadamkan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak berkata keseluruhan kebakaran yang bermula kira-kira pukul 9.30 malam pada Isnin lepas membabitkan kawasan seluas 52.60 hektar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Pagi tadi, pasukan Unit Udara Bomba telah menggunakan teknik pengeboman air bagi memadam dua tompokan asap di Gunung Kenderong seterusnya berjaya memadam kebakaran tersebut sehingga selesai," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Berikutan itu, beliau berkata operasi dengan keanggotaan sebanyak 61 orang daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Pengkalan Hulu dan Lenggong, Jabatan Perhutanan serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu tamat pada kira-kira 6 petang.

Katanya pihak bomba kini hanya melakukan pemantauan di lokasi kebakaran dan orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

Sepanjang operasi, pelbagai usaha dilakukan pihak bomba bagi mengelakkan kebakaran hutan itu merebak termasuk 'firebreak' iaitu memisahkan kawasan kebakaran dan pelbagai unit dikerahkan antaranya Unit Khas Pasukan Multi-Skill Team (MUST) yang digerakkan menggunakan teknik 'abseiling' dari pesawat AW189 ke puncak gunung itu.

Sejak hari pertama kebakaran, pasukan terlibat menghadapi pelbagai cabaran termasuk terpaksa mendaki sejauh lima kilometer ke lokasi kebakaran selepas menaiki kenderaan pacuan empat roda sejauh tiga kilometer ke kaki bukit kerana kawasan itu tidak dapat dimasuki jentera.

-- BERNAMA