PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan mengambil pendekatan ‘pukul borong’ dalam isu penggantian kad pengenalan diri mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu penting bagi memastikan dokumen pengenalan diri hanya diberikan kepada individu yang benar-benar berstatus warganegara.
Advertisement
Beliau berkata, KDN akan membantu sedaya upaya mangsa yang layak, termasuk memudahkan proses penggantian dokumen yang hilang akibat insiden berkenaan.
“Dalam kes seperti ini, sekiranya dokumen pengenalan diri musnah akibat kebakaran, kita akan membantu memudahkan proses mendapatkan dokumen gantian.
"Namun, ini tidak bermakna semua mangsa akan diberikan dokumen secara pukul borong. Kita akan teliti setiap kes secara individu," katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (Multi Purpose Mission Ship, MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks Setia Perkasa, Selasa.
Menurut Saifuddin, pemilikan dokumen pengenalan diri merupakan perkara penting dan tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya kepada individu yang tidak layak.
Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri Sabah bersama agensi persekutuan sedang melaksanakan proses pendaftaran bagi mengenal pasti status setiap mangsa yang terlibat
“Oleh kerana jumlah mangsa melebihi 9,000 orang dan lebih 1,000 rumah atas air terjejas, kerajaan Sabah bersama semua agensi negeri serta persekutuan sedang menjalankan proses pendaftaran.
“Keutamaan ketika ini adalah menyediakan pusat pemindahan sementara kepada mangsa terjejas,” jelasnya.
Dalam kejadian awal pagi Ahad, ribuan penduduk terjejas apabila kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di penempatan atas air Kampung Bahagia, Sandakan.
Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hashim Sharif Titing, dilaporkan berkata hampir 90 peratus rumah di perkampungan itu terbakar, menjadikan kejadian berkenaan kebakaran ketiga direkodkan selepas insiden pada 1994 dan 2001.