FUKUOKA: Tiga anggota Pasukan Pertahanan Diri Darat (GSDF) Jepun maut manakala seorang lagi cedera selepas sebutir peluru meriam kereta kebal meletup secara tidak sengaja di lapang sasar latihan di barat daya Jepun pada Selasa, lapor Agensi Berita Kyodo yang memetik GSDF.
Insiden itu berlaku kira-kira pukul 8.40 pagi semasa latihan kereta kebal sedang dijalankan di tapak latihan Hijudai GSDF di Wilayah Oita.
Advertisement
GSDF dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa peluru kereta kebal terbabit meletup sebelum tembakan sempat dilepaskan.
"Kami sedang berusaha untuk mengesahkan butiran lanjut serta punca kejadian ini," kata Menteri Pertahanan, Shinjiro Koizumi kepada pemberita di bangunan parlimen di Tokyo.
Beliau menyifatkan insiden berkenaan sebagai amat dikesali dan menegaskan bahawa langkah keselamatan yang lebih menyeluruh akan dipastikan selepas ini.
Menurut pihak berkuasa bomba tempatan, mangsa yang cedera mengalami kesan lecur di bahagian muka namun dilaporkan berada dalam keadaan sedar.
-- BERNAMA-KYODO