NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Amirudin jamin siasatan telus, tidak lindungi mana-mana pihak

Kerajaan Selangor memberi jaminan siasatan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dilaksanakan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi jaminan siasatan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dilaksanakan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Ringkasan AI
- Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan siasatan insiden kebakaran gas di Putra Heights akan dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
- Amirudin menjelaskan kenyataannya sebelum ini disalah faham dan menegaskan beliau tidak cuba menafikan atau melindungi sesiapa dalam isu ini.
- Kerajaan negeri akan sediakan pengangkutan khas untuk anak-anak mangsa ke sekolah bermula Isnin melalui PPS dan program DRT Selangor.
"Insya-Allah kebenaran akan dapat dibuktikan tetapi berilah masa yang selengkapnya untuk menyiasat perkara ini dan disemak betul-betul supaya mengelakkan sebarang kekeliruan," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin turut menjelaskan kenyataannya sebelum ini yang dilihat bercanggah dengan kenyataan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan semalam, yang mengesahkan wujud kerja-kerja pengorekan tanah di lokasi insiden itu.
"Pada hari pertama kejadian saya hendak maklumkan kepada semua bahawa kenyataan itu sedikit sebanyak disalah faham oleh sesetengah pihak kerana sememangnya daripada perbincangan ringkas saya dengan Ketua Polis Selangor sebagai ketua penyiasat, kita memang menjangkakan ada jengkaut yang terbenam di kawasan terbabit.
"Tidak timbul isu saya cuba menafikan ada aktiviti ataupun melindungi sesiapa sebagaimana dakwaan sesetengah pihak di laman sosial terutamanya yang mempertikaikan kedudukan Menteri Besar dalam menilai isu ini," katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan pengangkutan untuk anak-anak mangsa kebakaran itu ke sekolah dengan mereka yang mahu menggunakannya perlu hadir ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia MBSJ.
"Mulai Isnin, sebanyak lima kenderaan daripada Prasarana serta program Demand-Responsive Transit (DRT) Selangor akan membawa pelajar daripada keluarga terjejas dari PPS ke 34 buah sekolah.
"Keperluan lima kenderaan ini akan ditambah bergantung kepada keperluan semasa. Mangsa boleh merujuk ketua PPS masing-masing untuk mendapatkan kemudahan ini," katanya.
Terdahulu, Bernama melaporkan mangsa insiden berkenaan memohon agar pihak berkaitan dapat menyediakan kemudahan pengangkutan bagi menghantar anak mereka pergi dan balik sekolah berikutan sesi persekolahan akan dibuka semula minggu depan selepas cuti Aidilfitri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami