Skip to main content

Malaysia

Kebakaran ladang: Rompin catat bacaan IPU tidak sihat

Kawasan ladang kelapa sawit seluas kira-kira 60.7 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian di Kampung Jemeri, Kuala Rompin di sini pada Isnin. Foto Bomba Pahang.
Kebakaran itu menyumbang kepada peningkatan bacaan IPU, dengan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) menunjukkan bacaan 152 dari 9 pagi hingga 5 petang. - Gambar/ JBPM

KUANTAN: Kualiti udara di Rompin masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat petang ini berikutan kebakaran sebuah ladang kelapa sawit di daerah itu. 

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Zakaria Ahmad berkata kebakaran itu menyumbang kepada peningkatan bacaan IPU, dengan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) menunjukkan bacaan 152 dari 9 pagi hingga 5 petang. 

Advertisement

“Masyarakat dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan menjaga kesihatan, khususnya individu yang berisiko,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zakaria memaklumkan notis di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah diserahkan kepada pengurus ladang pada 27 Mac bagi mengambil tindakan mengawal kebakaran dan mengemukakan laporan ke pejabat JAS Cawangan Rompin. 

Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat lebih bertanggungjawab dengan tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memberi kesan buruk kepada pelbagai pihak selain boleh dihukum denda atau penjara di bawah Seksyen 29A akta sama. 

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan hampir 60 hektar daripada 300 hektar kebakaran di sebuah ladang kelapa sawit di Rompin telah dipadamkan setakat 5 petang semalam dengan operasi pemadaman diteruskan hari ini. 

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video