RAUB: Kejadian lima sekeluarga maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, di sini awal pagi tadi, mengejutkan penduduk setempat yang hendak membuat persiapan bersahur.
Peniaga kedai runcit Ruslah Ismail, 64, yang tinggal berhampiran rumah mangsa berkata mendengar jeritan semasa mahu memasak nasi kira-kira 3 pagi tadi.
Advertisement
“Saya terdengar jeritan dua kali. Ketika tengok rumah sebelah api sudah marak. Saya segera mengejutkan anak dan ambil barangan penting kerana bimbang api merebak,” katanya semasa ditemui di lokasi kejadian.
Wanita itu berkata terkejut dan panik kerana api begitu marak sebelum ketibaan bomba pada 4.15 pagi.
“Pasangan suami isteri itu berniaga makanan dan menetap di rumah terbabit hampir 10 tahun. Mereka memang baik dengan kami,” katanya.
Sementara itu, pemilik rumah Nor Rizan Kamaluddin, 59, berkata rumah tersebut dibina selepas kediaman asal yang bersebelahan lokasi kejadian terbakar pada 2014.
Nor Rizan berkata kejadian berkenaan turut memberi kesan kepadanya kerana sudah mengenali keluarga itu sejak lama dan mereka banyak membantu arwah ibunya yang tinggal bersebelahan.
“Lama mereka menyewa di rumah itu. Memang sangat terkejut dan sedih kerana anak mangsa membesar depan mata kami.
“Mereka memang baik dan banyak membantu malah ketika ibu masih ada, mangsa yang akan menghubungi keluarga kami jika arwah ibu memerlukan apa-apa,” katanya.
Pesara itu berkata dimaklumkan kejadian tersebut oleh jiran dan api masih marak semasa dia tiba di lokasi yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya pada 3.45 pagi.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata bomba tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman berjaya mengawal api pada 4.48 pagi.
Beliau berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain turut melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal.
-- BERNAMA