NATIONAL
Kebakaran paip gas Putra Heights: PSSS bergerak dan JPN ditempatkan di PPS - Noraini

Noraini menyantuni mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights hari ini. - Foto Bernama
SUBANG JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPKWM) akan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) secara mobile atau bergerak di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada Selasa.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, langkah ini penting kerana ramai mangsa masih mengalami kesan trauma akibat kejadian tersebut.
Inisiatif ini katanya bertujuan memberikan kaunseling serta membantu mangsa kebakaran.
“Selain counsellors yang ada di sini, PSSS juga akan membantu untuk mendengar dan membantu mereka yang memerlukan."Selain itu KPKWM juga berkerjsama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menempatkan kaunter khas di PSS," katanya semasa melakukan tinjauan di PPS Masjid Putra Heights pada siang tadi.
Noraini menjelaskan ini adalah untuk membantu mangsa mendapatkan penggantian dokumen pengenalan diri seperti Kad Pengenalan.
“Kita akan mulakan dan kita akan minta JPN untuk berada bersama sekali.
“Sebab ramai mangsa yang keluar dari tempat kejadian dalam keadaan sehelai sepinggang , tidak mempunyai dokumen seperti Kad Pengenalan dan sebagainya," katanya lagi.
Tambah beliau, PSSS yang digerakkan melalui Yayasan Kebajikan Negara juga akan dibuka di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) Camelia, yang dianggarkan dapat menempatkan 30 keluarga.
Pusat ini baru sahaja dibuka dan kini menempatkan sembilan keluarga.
Noraini juga memuji dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kakitangan dan agensi yang terlibat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, letupan paip gas bawah tanah yang menggegarkan kawasan penempatan di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, telah mencetuskan kebakaran besar sehingga menyebabkan 145 penduduk cedera dengan kebanyakannya melecur akibat bahang api terlampau panas.
Insiden itu turut menyebabkan 300 kediaman mengalami kerosakan, termasuk 78 dilaporkan musnah sepenuhnya, selain lebih 100 kenderaan milik penduduk terjejas, manakala sebahagian penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami