REMBAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kerja-kerja membaik pulih asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji  Abu Hassan Haji Sail di Pedas, di sini yang terbakar sejak tahun lalu disegerakan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM890,000 daripada peruntukan asal sebanyak RM3 juta sebelum ini.

“Saya akan pastikan peruntukan (baik pulih) ditambah dan pelaksanaan disegerakan (kerana) saya difahamkan kelulusan diberikan sekitar RM 3 juta, tetapi dengan melihat keadaan asrama tentunya tidak mencukupi.

“Saya akan minta Menteri Besar berbincang dengan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya Kementerian Kewangan dapat beri kelulusan khas supaya dipercepatkan dan dijadikan ‘fast track’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau blok asrama lelaki yang terbakar sejak Julai tahun lalu.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sebelum ini, kebakaran 10 bilik asrama itu menyebabkan kira-kira 150 daripada 300 pelajar lelaki terpaksa menumpang sementara di kuarters rumah pengetua dan rumah penolong kanan pentadbiran sekolah selain dewan asrama turut dijadikan sebagai tempat tidur.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM310,000 bagi membaik pulih bilik guru dan surau sekolah yang merupakan antara sekolah cemerlang di Negeri Sembilan itu.

“Kita lihat juga sekolah ini tidak daif, tetapi dari segi prasaranya sangat sederhana dan kalau kita tengok asrama itu kesesakannya luar biasa kerana kemudahan agak minima.

“(Tetapi) masih mampu (menampung) kerana komitmen dan dedikasi tenaga pengajar serta disiplin pelajar-pelajar dapat mengangkat martabat sekolah. Saya percaya sekolah ini bukan sahaja cemerlang tetapi mampu menjadi contoh,” tambahnya.