KUALA LUMPUR: Kebenaran solat berjemaah di surau dan masjid untuk individu yang telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 berkuat kuasa esok, 10 Ogos, dapat kembali mengimarahkan tempat ibadah umat Islam di seluruh negara.

Kemudahan itu bagaimanapun tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata keputusan kerajaan mengutamakan golongan yang telah lengkap divaksin merupakan satu ikhtiar mencegah penularan wabak COVID-19 dalam kalangan jemaah masjid dan surau.

Lega dengan pengumuman itu, beliau bagaimanapun mengingatkan jemaah agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal ketika menunaikan ibadah.

Beliau berkata langkah itu juga merupakan galakan kepada mereka yang ingin solat berjemaah supaya melengkapkan vaksinasi di samping tanggungjawab bersama bagi mengawal serta mencegah penularan pandemik COVID-19.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Mat Azmi Arshad pula berkata kebenaran untuk solat berjemaah tanpa had bilangan mengikut keluasan masjid dan surau di negeri itu telah diberi bermula 8 Julai lepas.

Beliau berkata individu yang belum divaksin tetap dibenar hadir solat berjemaah di masjid dan surau di Terengganu dengan syarat perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, individu yang belum menerima suntikan dos lengkap dan warga emas yang berisiko adalah dinasihat untuk solat di rumah masing-masing memandangkan penularan COVID-19 varian Delta yang sangat cepat merebak ketika ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Di KEDAH, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAIK) memaklumkan belum memiliki sebarang ketetapan kelonggaran jemaah yang lengkap menerima vaksinasi dibenar menunaikan solat di masjid seperti pengumuman Perdana Menteri semalam.

Pengarah JHEAIK Mohd Yusri Md Daud berkata sebarang ketetapan baharu perlu dibincangkan dengan pihak berkaitan terlebih dahulu terutama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah memandangkan kes COVID-19 di negeri itu masih mencatatkan angka lebih 1,000 kes setakat hari ini.

Pada masa ini, JHEAIK membenarkan solat fardu dan solat Jumaat di masjid serta surau mulai 9 Julai dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 100 orang (tidak termasuk pegawai dan jawatankuasa masjid) dengan syarat jemaah terpilih sudah menerima suntikan vaksin.

Bagaimanapun, kebenaran kehadiran jemaah dengan jumlah itu hanya membabitkan zon hijau, kuning dan jingga manakala bagi zon merah, kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang juga terdiri daripada mereka yang sudah menerima suntikan vaksin.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam pengumumannya semalam, berkata individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah melengkapkan vaksinasinya apabila melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Kemudahan sama juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat.

-- BERNAMA