Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kebersamaan, penghayatan teras budaya penting bagi perkukuh identiti nasional - Pakar

BANGI, 23 Sept - Ahli panel, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong (dua ,kiri), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian (dua, kanan), Azlan Shah Nabees Khan (kiri) dan Jo-Anna Sue Henley Rampas (kanan) ketika hadir pada sesi Dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI) hari ini . Turut hasir Moderator Azlan Mubin (tiga kiri). - fotoBERNAMA
Ahli panel, Teo Kok Seong (dua ,kiri), Sivamurugan Pandian (dua, kanan), Azlan Shah Nabees Khan (kiri) dan Jo-Anna Sue Henley Rampas (kanan) ketika hadir pada sesi Dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI). - Gambar Bernama
Advertisement

BANGI: Usaha memperkukuh jati diri dan identiti nasional menuntut rakyat Malaysia membina kebersamaan sebenar, di samping menghayati teras kebudayaan dan menguasai bahasa kebangsaan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Sivamurugan Pandian berkata, masyarakat majmuk di negara ini perlu mengikis tembok prasangka serta stereotaip agar kepelbagaian yang wujud dapat dirasai sebagai kekuatan bersama.

“Kita tidak boleh hidup berdampingan tetapi berasingan. Kita bergaul tetapi tidak bergabung. Penggabungan itu penting, hidup bersama itu penting atas konsep kepunyaan dan perkongsian bagi mengangkat nilai sebenar sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada program Dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional, di sini, pada Rabu.

Dalam usaha merealisasikan perpaduan yang mampan, Sivamurugan menggariskan formula akronim K.I.T.A., iaitu Kebersamaan dalam konteks kepelbagaian, Inklusiviti daripada identiti nasional, Tanggungjawab berteraskan toleransi (tasamuh) dan penerimaan serta Aspirasi berlandaskan nilai amanah.

Beliau berkata, walaupun rakyat Malaysia memiliki latar belakang etnik dan susur galur sejarah yang berbeza, iltizam untuk membina masa depan yang harmoni harus menjadi matlamat bersama.

“Kita tidak perlu mempunyai sejarah yang sama tetapi kita perlu membina masa depan yang sama. Malaysia tidak sempurna tetapi yang menyempurnakannya adalah kita,” katanya.

Dalam pada itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Teo Kok Seong berkata, pembinaan identiti nasional mestilah berpaksikan kepada asas dan teras sejarah negara.

Beliau berkata, walaupun Malaysia memiliki komposisi penduduk yang majmuk, kerangka budaya nasional telah digariskan dengan jelas menerusi Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang kini diteruskan melalui Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021.

“Identiti budaya ialah amalan, tradisi dan nilai yang dipraktikkan. Berdasarkan dasar kebudayaan, teras bagi budaya nasional kita ialah budaya Melayu dan ajaran Islam manakala unsur budaya kaum lain yang sesuai dan tidak bercanggah turut diiktiraf serta diterima sebagai sebahagian daripada budaya kebangsaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Teo menegaskan, setiap warganegara wajib menzahirkan jati diri nasional itu, termasuk memenuhi tanggungjawab paling asas, iaitu menguasai bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, penguasaan bahasa Melayu bukan sekadar lambang kenegaraan, sebaliknya menjadi tanggungjawab setiap warganegara kerana bahasa itu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Di Malaysia, kita mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, malah menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.

“Justeru, amat tidak wajar sekiranya masih ada warganegara yang tidak boleh bertutur dalam bahasa negara. Apa erti kerakyatan yang dipegang?” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement