Drama yang dimainkan DAP 48 jam sebelum bermulanya proses penamaan calon berhubung isu kemungkinan logo ‘Roket’ tidak boleh digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nyata tidak berasas.

Tindakan pimpinannya beserta rakan Pakatan Rakyat (PR) membesar-besarkan isu itu dilihat sia-sia apabila akhirnya calon yang bertanding mewakili DAP dibenarkan menggunakan logo rasmi parti mereka.

Selepas proses penamaan calon selesai pada Sabtu diseluruh negara, didapati tiada seorang pun calon DAP terpaksa bertanding menggunakan logo rakan komponen PAS mahupun PKR seperti yang dicanang sebelum ini.

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong melihat isu ini sebagai satu sandiwara yang dimainkan oleh DAP bagi meraih undi simpati rakyat.

Katanya, taktik itu juga digunakan untuk mencemar nama Barisan Nasional (BN) apabila parti kerajaan itu dituduh bertanggungjawab memaksa Pendaftar Pertubuhan, RoS mengenakan tindakan ke atas DAP.

“Drama ini tidak lain adalah untuk memfitnah dan menimbulkan kebencian terhadap kerajaan (pimpinan BN), untuk dapatkan undi simpati rakyat. Sedangkan umum tahu laporan yang dibuat kepada RoS datang daripada ahli DAP yang tidak setuju dengan cara pemilihan CEC mereka dibuat, bukan BN yang mengadu (kepada Ros).” Katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

“Mereka (DAP) nak tunjuk kepada rakyat kononnya hubungan mereka dengan rakan pakatan sangat kuat, takut tak boleh tanding hingga boleh pinjam-pinjam logo. Sedangkan itu juga adalah satu taktik untuk DAP meraih undi melayu dengan menggunakan logo PAS.”

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menegaskan DAP patut merasa malu kerana 'lakonan' parti itu tidak menjadi apabila semua kertas pencalonan calon DAP diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tanpa sebarang komplikasi atau bantahan.

"Saya dah cakap dah sebelum ini semua drama nak menagih simpati. Jelas terbukti hari ini (Sabtu) DAP parti drama," tegas Khairy dalam mesej ringkasnya melalui sms.

Beberapa penduduk Gelang Patah yang ditemui pula hanya mampu tersenyum sinis apabila ditanya mengenai isu sama.

"Itu airmata tak laku sini," jawab Wilson Lee, 53 tahun.