KUALA LUMPUR: Cadangan menjadikan kerajaan sebagai entiti yang boleh diambil tindakan di mahkamah sekiranya berlaku kebocoran maklumat peribadi memerlukan kajian impak perundangan secara mendalam sebelum ia dapat dipertimbangkan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata ketika ini, terdapat juga negara lain yang mempunyai pendekatan berbeza dalam menangani isu berkenaan, sama ada menerusi pindaan undang-undang sedia ada atau penggubalan rang undang-undang baharu.

"Kami dalam proses menimbangkan perkara-perkara ini dan saya harap dalam masa terdekat satu keputusan dapat dibuat dan dibawa ke Kabinet untuk memutuskan sama ada pindaan perlu kepada undang-undang sedia ada ataupun perlu gubal rang undang-undang baharu atau peraturan yang boleh mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Digital sebagai respons kepada cadangan dikemukakan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) di Dewan Rakyat hari ini.

Gobind berkata Kementerian Digital menerusi Pejabat Pesuruhjaya Data Perlindungan Peribadi (PDPA) juga telah menerima aduan dan laporan kebocoran data peribadi yang dipanjangkan daripada agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.






Semua aduan berkenaan, katanya telah disiasat berdasarkan tujuh prinsip perlindungan data peribadi serta perundangan subsidiari yang berkuat kuasa.

Beliau berkata Kementerian Digital juga sedang melaksanakan gerak kerja berkaitan cadangan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) bertujuan memperkukuh kawalan keselamatan data peribadi.

"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bersama-sama membangunkan dasar keselamatan siber masing-masing bagi memastikan sistem ICT (komunikasi dan teknologi maklumat) kerajaan terpelihara daripada penggodaman pangkalan data kerajaan dan pangkalan data peribadi," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pusat tindak balas insiden keselamatan siber, Cyber999 merekodkan penurunan ketara dalam jumlah insiden keselamatan siber iaitu 3,232 kes pada tahun lepas berbanding 7,192 kes pada 2022.

Beliau berkata sebelum ini, Cyber999 merekodkan peningkatan insiden berkenaan iaitu 4,194 kes pada 2020 dan 5,575 kes pada 2021.

"Cybersecurity Malaysia turut meningkatkan keselamatan siber negara dengan menyediakan perkhidmatan perlindungan keselamatan eksosistem siber untuk tangani serangan dan ancaman siber seperti jenayah siber dan scam (penipuan)," katanya.

-- BERNAMA