MALAYSIA
Kecewa ada sekolah lambat, berlengah penuhi SOP tangani isu buli – Penganalisis

Dr. Geshina Ayu berpandangan tindakan penyelesaian kes-kes buli perlu dilaksanakan secara bersama. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Profesor undang-undang keluarga, wanita dan kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal menyuarakan kekecewaan terhadap sekolah-sekolah yang masih lambat bertindak menangani kes buli.
Ringkasan AI
- Sekolah masih gagal bertindak pantas dalam kes buli walaupun SOP dan pekeliling KPM telah tersedia, menunjukkan kecuaian yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Ibu bapa disaran membuat laporan polis segera jika anak cedera, bagi membolehkan siasatan dan tindakan undang-undang dijalankan dengan berkesan. Pencegahan buli perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan holistik, melibatkan kerjasama semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan komuniti, bukan secara berasingan.
“Dalam konteks buli, saya tidak tahu mengapa, walaupun pihak sekolah sudah ada SOP dan pekeliling mengenai perkara yang perlu dilakukan untuk kendalikan kes buli, saya dapati pihak sekolah sangat sukar untuk laksanakan ketetapan sedia ada.
“Dalam kes (Zara Qairina) ini, saya dapati ada isu kecuaian. Berdasarkan Akta Kanak-kanak 2001, kecuaian dalam penjagaan kanak-kanak adalah suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan. Bukan sahaja kecuaian ibu bapa, bahkan juga kecuaian penjaga yang menggantikan ibu bapa. Saya agak kecewa kerana kelewatan ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Tambah Noor Aziah, dalam sebarang situasi yang melibatkan kecederaan kepada anak-anak, tindakan yang perlu diberi keutamaan oleh ibu bapa adalah membuat laporan polis dengan segera.
Ini bagi memastikan tindakan berdasarkan perundangan sedia ada boleh diambil dan pihak polis boleh menjalankan siasatan terperinci jika perlu.
“Ibu bapa tidak berada di situ. Mereka hanya pergi ke hospital dan mungkin tidak dimaklumkan perihal kenapa dan bagaimana (kecederaan pada anak itu berlaku).
“Jika perkara ini berlaku kepada saya, sebagai ibu bapa dan anak saya di bawa ke hospital kerana cedera, perkara pertama yang saya lakukan ialah pergi ke balai polis untuk buat laporan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pakar kriminologi dan Prof. Madya Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Geshina Ayu Mat Saat pula berpandangan tindakan penyelesaian kes-kes buli perlu dilaksanakan secara bersama.
“Jangan lihat pelaksanaan langkah pencegahan isu buli secara silo. Ia perlu dilihat dari sudut tindakan menyeluruh untuk mencapai ekosistem pencegahan yang holistik.
“Pencegahan jenayah yang mendalam tidak hanya fokus kepada pihak sekolah atau ibu bapa sahaja.
“Ini kerana, kadang-kadang ibu bapa menafikan anak mereka bermasalah. Sebaliknya mereka dakwa kawan-kawan sebaya yang menyebabkan anak mereka melakukan kegiatan tidak baik,” katanya.
Untuk konteks, isu buli menjadi hangat berikutan kematian Zara Qairina pada 17 Julai lalu yang membawa kepada pertuduhan keatas lima remaja atas dakwaan buli, dan akan dibicarakan di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah.
Isu buli ini semakin mendapat perhatian susulan beberapa kejadian sama dilaporkan media. Antara lain, pada hari ini polis mengesahkan sedang menyiasat insiden buli melibatkan dua pelajar Tingkatan Empat yang didakwa 'menghukum' lebih 20 pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah asrama di Sungai Udang.
Pada Isnin, dilaporkan ibu kepada seorang murid lelaki berusia 10 tahun dari Johor Bahru mendakwa anaknya yang menghidap kanser hidung, kini menderita akibat gegaran otak selepas menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama Februari lepas.
Agenda AWANI: Hentikan buli, elak tragedi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami