IPOH: Suasana pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kecoh sedikit pagi tadi apabila petugas media yang membuat liputan proses tuntutan jasad juruterbang helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor minggu lalu dihalang menghampiri bangunan berkenaan.

Beberapa anggota keselamatan yang bertugas mendakwa mereka mendapat arahan daripada pihak atasan untuk berbuat demikian.

Lebih mengejutkan apabila petugas media yang mahu menggunakan tandas di blok bangunan Jabatan Forensik juga diekori dan ditunggu di luar pintu hingga selesai.

Tindakan pihak keselamatan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan wartawan yang bertugas.

Beberapa petugas media yang ditemui melahirkan rasa terkilan dengan tindakan sedemikian.

"Kami bukan mahu mengganggu hanya berada dipekarangan sudah memadai tetapi kami dijaga lima pengawal keselamatan, seolah-olah macam kami ni pesalah.

"Kami memahami tugas semua pihak namun sekiranya dihalang, bagaimana media dapat melaporkan berita yang sahih dan telus," kata salah seorang wartawan senior.

BACA: Balu juruterbang helikopter terhempas tuntut mayat di HRPB Ipoh

Menurutnya, aduan telah diajukan kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan pihak hospital dalam mencari penyelesaian terbaik.