KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan berhubung kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

"Saya menjangkakan DPP akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat berhubung kes REE ini.

"Keputusan menuduh atau tidak mungkin akan dilakukan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam program menembak SPRM bersama media 2023 sempena ulang tahun SPRM ke-56 di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Azam memaklumkan pihaknya telah berjaya menemui beberapa maklumat dan petunjuk baharu berhubung kes berkenaan bagi menyokong kertas siasatan sedia ada.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai sama ada wujud ketirisan bekalan beras tempatan di negara ini, tegas Azam, SPRM tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan itu.

Bagaimanapun, siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya wujud unsur rasuah.