SIK:Kerajaan negeri Kedah belum bersedia untuk mencadangkan supaya pintu sempadan Malaysia-Thailand di negeri itu dibuka bagi tujuan pelancongan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pembukaan pintu sempadan di tanah besar negeri itu akan meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 berikutan trend peningkatan kes di Thailand ketika ini.

“Untuk feri dari Satun (Thailand) itu kita belum bersedia lagi kerana trend kes COVID-19 di Thailand dilihat meningkat.

“Ia dikatakan berpunca daripada orang Myanmar yang berkerja di sektor industri di Thailand jadi kita cuba untuk mengelakkan risiko tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bahawa kerajaan mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara bagi membantu merancakkan sektor pelancongan.

Nancy dipetik berkata, pihaknya kini di peringkat mengadakan rundingan dengan negara seperti Singapura, Brunei, Korea, Jepun, Taiwan dan New Zealand yang dikenal pasti sebagai kawasan zon hijau.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya berharap kerajaan membenarkan pelancong antarabangsa dari negara berisiko rendah COVID-19 ke Langkawi bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di pulau itu.

Beliau berkata sudah membentangkan cadangan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membawa pelancong antarabangsa ke Langkawi menerusi Program Gelembung Pelancongan (Bubble Tourism) Qatar Airways.

BACA: Nasib pengusaha feri Langkawi berubah, fokus jualan secara atas talian 

BACA: Pelancongan Langkawi kembali 'bernafas', lebih 20 kapal terbang tiba setiap hari 

“Saya telah membentangkan kepada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara baru-baru ini untuk melaksanakan gelembung perjalanan (travel bubble) yang diilhamkan oleh Qatar Airways.

“Ia akan membawa pelancong-pelancong dari beberapa negara iaitu dari 112 destinasi yang mempunyai kadar jangkitan COVID-19 yang rendah.

“Ia juga menawarkan pakej yang mana hanya individu yang disahkan negatif selepas menjalani saringan sahaja dibenarkan menyertai “bubble travel”.

“Pada masa sama, ia (Qatar Airways) berjanji dengan saya jika perjalanan itu dibenarkan, mereka boleh bawa masuk seminggu lima penerbangan iaitu lebih kurang 2,000 orang ke Langkawi sahaja dan tidak datang ke tanah besar,” ujarnya lagi.

     

Jelas Muhammad Sanusi, beliau yakin dengan jaminan diberikan Qatar Airways yang mengaturkan pakej dengan pengusaha hotel dan memastikan pelancong antarabangsa tidak bercampur dengan pelancong tempatan.

Terdahulu, Muhammad Sanusi berkata demikian selepas menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Pusat Khidmat Rakyat Pas Sungai Pau, Sik, hari ini.