LANGKAWI:Penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia amat memberi kesan besar terutama dari segi pembangunan ekonomi dalam kalangan pemain-pemain industri pelancongan.

Tidak terkecuali pengusaha feri Pulau Langkawi atau lebih dikenali sebagai Konsortium Ferry Line Ventures yang sebelum ini hampir gulung tikar akibat ketiadaan pendapatan selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac.

Meskipun demikian, menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, beberapa kelonggaran yang mula diberikan pihak kerajaan sedikit sebanyak mula memberi sinar baharu kepada konsortium berkenaan.

Antara perubahan ketara termasuklah kemasukan pelancong di Pulau Langkawi yang mencatatkan peningkatan sehingga 40,000 individu pada hari hujung minggu sehingga memaksa mereka menambah kekerapan perjalanan feri.

Tambahnya, tempoh PKP dan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang diperkenalkan pihak kerajaan juga sedikit sebanyak telah mengubah corak pembelian tiket daripada pengunjung.

BACA: Langkawi sibuk terima pelancong, feri tambahan disediakan penuhi permintaan mendadak



Jika sebelum ini, tidak sampai 5 peratus pengunjung membeli secara atas talian, jumlah itu kini mendadak sehingga 86 peratus memandangkan kaedah berkenaan dianggap lebih mudah, pantas dan dapat mengurangkan kesesakan di kaunter pembelian tiket.

Baharin menegaskan, kaedah itu sejajar dengan teras mempergiatkan digitalisasi pelancongan yang diperkenalkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Dasar Pelancongan Negera (DPN) 2020-2030 sekaligus meningkatkan penggunaan teknologi terkini dalam industri itu.

"Sekarang ni dalam sistem (pembelian tiket) ini (penggunaannya) semua online (dalam talian). Pelanggan yang datang ke kaunter memang amat berkurangan. Sebelum PKP ni dah macam-macam buat, dah iklan dalam feri, iklan dalam facebook media massa tapi cukup mendukacitakan. Satu hari mungkin dalam lapan atau 10 orang (beli secara atas talian). Sekarang ni dah terbalik dah.

"Sebenarnya kami nak mengurangkan penumpang menunggu lama di feri. Kadang-kadang (penumpang) tak rancang perjalanan. (Apabila) datang ke jeti, mereka akan menunggu, termasuk dengan anak kecil, (pergi kaunter dan mereka dapati) petang baru boleh naik feri. 

"Ada yang balik kosong, naik (kapal) RO-RO dan sebagainya," jelasnya.



Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan agar komitmen kerajaan menerusi teras memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelancong dapat membantu mengurangkan permasalahan yang dihadapi pengusaha feri sejak sekian lama.

Jelasnya, ia termasuklah keadaan kawasan terminal feri yang tidak mempunyai kawasan parkir yang mencukupi selain masalah alur pelayaran yang sempit di Terminal Kuala Perlis, yang telah memberi kesan besar kepada kedatangan pengunjung.

“Difahamkan isu ini dah dibincangkan berkali-kali. Ada perbincangan dengan kerajaan negeri Perlis untuk memindahkan Terminal Kuala Perlis ke Sanglang. Namun difahamkan ada sikit isu yang berbangkit apabila pemindahan ke Sanglang akan menyebabkan jeti Kuala Perlis usang kembalI.

"Banyak aset macam Masjid Terapung (akan terbiar). Ini mungkin boleh dibincangkankan kembali.. kerajaan boleh buat satu terminal seperti di Langkawi (yang mana boleh menampung kapasiti penumpang yang banyak dalam satu satu masa, selain tiada permasalahan mengenai alir pelayaran)," kata Baharin.


Pengusaha feri fokus jualan secara atas talian
 

Pada Rabu, Perdana Menteri telah menyatakan bahawa Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 akan dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama.

Jelasnya, ia merangkumi transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif, mempergiatkan digitalisasi pelancongan, memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan.