Skip to main content

Malaysia

Kedah sasar lebih 550,000 pengunjung ke Temasya Orang Kedah 2026

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan rasmi Temasya Orang Kedah 2026. Sumber: Astro AWANI
Tengku Sarafudin Badlishah (dua dari kiri) berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Temasya Orang Kedah 2026 di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

ALOR SETAR: Penganjuran Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 bukan sahaja menjadi medan merancakkan ekonomi usahawan tempatan, malah berfungsi sebagai platform memperkenalkan kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat di negeri Jelapang Padi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penganjuran TOK yang memasuki edisi keenam itu terus mendapat sambutan menggalakkan dengan sasaran kehadiran pengunjung tahun ini melebihi 550,000 orang berbanding 540,000 pengunjung yang direkodkan pada tahun lalu.

Menurut beliau, antara kelainan yang diketengahkan pada edisi kali ini ialah penyertaan pejabat-pejabat daerah yang mempamerkan pelbagai produk berasaskan lokaliti masing-masing.

"Setiap daerah membuka reruai bagi mengetengahkan produk tempatan. Sebagai contoh, Padang Terap membawa pelbagai produk berasaskan herba memandangkan daerah itu mempunyai kawasan hutan yang luas dan kaya dengan sumber semula jadi," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, pengunjung turut berpeluang mengenali kepelbagaian budaya masyarakat yang membentuk identiti Kedah, termasuk komuniti Siam yang telah lama menjadi sebahagian daripada landskap sosial negeri itu.

Beliau berkata, budaya dan bahasa masyarakat Siam di Kedah masih dipelihara melalui pendidikan tidak formal yang dijalankan di wat-wat Siam, sekali gus memastikan warisan komuniti berkenaan terus kekal subur.

"Ketika ini terdapat kira-kira 70,000 masyarakat Siam di Kedah yang masih mengamalkan budaya dan tradisi mereka. Keharmonian hidup pelbagai kaum dan komuniti di negeri ini menjadi antara tarikan kepada pelancong untuk datang dan melihat sendiri suasana aman yang dinikmati rakyat Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Temasya Orang Kedah 2026 di perkarangan Stadium Darul Aman, di sini, malam tadi.

Majlis berkenaan disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, festival berskala besar seperti TOK mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan domestik dan ekonomi tempatan.

Menurutnya, penganjuran acara seumpama itu menggalakkan rakyat untuk melancong dalam negara, di samping membantu meningkatkan perbelanjaan domestik dan mengurangkan aliran keluar wang ke luar negara.

"Program seperti Temasya Orang Kedah merupakan produk pelancongan domestik yang berpotensi besar. Ia bukan sahaja merancakkan industri pelancongan tempatan, malah boleh dijadikan acara ikonik atau signature event bagi negeri Kedah," katanya.

Must Watch Video

Advertisement