ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan menyediakan bantuan khas berjumlah RM5 juta dalam usaha membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dimaklumkan hari ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata bantuan khas itu diberikan kepada penoreh getah yang terkesan, pesawah kehilangan pendapatan, anak-anak terhalang daripada peluang pengajian menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Turut diberikan bantuan berkenaan keluarga miskin yang tidak mampu menyediakan belanja pendidikan anak-anak, keluarga miskin tiba-tiba akibat kematian ketua keluarga serta individu putus harapan selain kepada pegawai masjid dan guru KAFA.

"Peruntukan ini disediakan pegawai kewangan negeri dan kita gunakan juga Tabung Tengku Mahmud yang akan dipinda dari Seksyen 9 kepada Sekyen 10 untuk membolehkan sumbangan kerajaan dan sumbangan luar dimasukkan ke dalam tabung itu.

"Saya yakin dengan keikhlasan kita untuk membantu masyarakat di Kedah dalam kumpulan miskin dan untuk pendidikan anak-anak, banyak orang kaya di luar sana daripada syarikat besar turut menyumbang kepada (Tabung) Tengku Mahmud untuk kita laksanakan program seumpama ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Bajet Kedah 2023 pada persidangan DUN di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Selain itu, Muhammad Sanusi berkata untuk kumpulan miskin yang tidak berkemampuan menyediakan makanan asas kepada ahli keluarga, kerajaan negeri akan membuat tambahan Pakej Beras Sejahtera iaitu pek mengandungi beras lima kilogram dan makanan asas bernilai RM50.

"...dan penambahan itu seperti berikut: ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) kerajaan (negeri) daripada 150 pek sebulan (ditambah) kepada 200 pek sebulan, penyelaras DUN daripada 150 pek sebulan kepada 100 pek sebulan, ADUN pembangkang daripada kosong pek (belum diberikan sebelum ini) kepada 100 pek sebulan," katanya.

Beliau berkata bantuan pakej beras itu berlangsung selama enam bulan dan sekiranya terdapat keperluan, pihak kerajaan negeri akan melanjutkan tempoh bantuan berkenaan kepada setahun.

Sementara itu, Muhammad Sanusi meminta kesemua ADUN di Kedah 'memperlahankan' sedikit rentak berpolitik keterlaluan dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha menjaga kepentingan rakyat terutama membantu golongan miskin di negeri itu.

"Saya sebagai anak orang susah, bila berlaku bencana dan kesusahan, sangat menyentuh (hati) saya, sebut miskin saja air mata akan menitik...saya tidak jadikan politik ini sebagai karier, bila-bila pun boleh pergi, bila-bila pun boleh berhenti. Ini bukan karier, ini tanggungjawab, ini amanah," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata siasatan tetap diteruskan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik kerana mungkin melibatkan pihak lain meskipun dua kompaun berjumlah RM630,000 telah dikenakan terhadap seorang lelaki warga China.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan secara terperinci mengenai hal berkenaan kerana bimbang akan mengganggu penyiasatan kes berkenaan.

Pada sidang DUN Isnin lepas, Menteri Besar Kedah dilaporkan berkata kerajaan negeri memperoleh semula hasil selepas kerugian akibat kegiatan perlombongan haram REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik setelah dua kompaun dikenakan terhadap lelaki warga China itu.

Muhammad Sanusi berkata dua kompaun itu melibatkan kompaun maksimum RM500,000 untuk kesalahan melombong REE dan kompaun RM130,000 kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) dan kompaun itu dibayar pada 11 Okt lepas.

Sidang DUN Kedah bersambung esok.

-- BERNAMA