Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah, Badrul Hisham Hashim memberi jaminan bahawa negeri itu tidak akan mengalami krisis bekalan air.

Beliau memaklumkan bahawa bekalan air di Empangan Pedu sahaja mampu untuk menampung keperluan dalam tempoh sepuluh bulan lagi.

Menurutnya, walaupun paras air di Empangan Ahning surut tahap minima, Kedah masih mempunyai dua empangan yang lain iaitu Empangan Pedu dan Empangan Muda yang masih mampu menyalurkan air ke seluruh negeri termasuk negeri jiran Perlis dan Pulau Pinang.

Beliau yang turun padang meninjau sendiri keadaan Empangan Pedu di Padang Terap turut memaklumkan di Empangan Pedu sahaja kini mempunyai kapasiti air sebanyak 71.57 peratus.

Manakala Empangan Ahning di Padang Terap pula mencatatkan jumlah takungan sebanyak 67.43 peratus dan kedua-dua empangan cukup untuk menampung bekalan air bersih dan pertanian.

Kandungan air di dua empangan itu masih mampu menyalurkan air untuk pengguna baik dari segi keperluan harian, industri dan pertanian khusus untuk penanaman padi.

Menurut beliau, kesan daripada cuaca panas dan hujan yang tidak turun hampir dua bulan di Kedah telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada kemerosotan air di Empangan Ahning.

“Tahap takungan air di Empangan Pedu ni masih di dalam keadaan yang selamat dan masih lagi boleh menampung semua minuman dan pengairan di sawah,” kata Badrul kepada pemberita.

Walau bagaimanapun katanya petani dinasihatkan agar tidak perlu bimbang kerana parit saliran yang sebelum ini membekalkan air ke petak sawah mereka masih mencukupi untuk tanaman musim seterusnya bermula Mac depan walaupun hujan tidak turun dalam masa beberapa bulan ini.

Ketika lawatan, beliau turut diberi penerangan oleh jurutera kanan Empangan Pedu tentang paras air disemua empangan di negeri yang masih dalam keadaan normal kecuali Empangan Ahning mengalami penyusutan dan berada pada paras kritikal.

Sementara itu, paras air di Empangan Padang Saga, Langkawi dilaporkan susut dan berada diparas kritikal.

Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) melaporkan paras air di Empangan Sungai Saga mencatatkan penyusutan setakat jam 1 tengahari pada Khamis.

Empangan Sungai Saga ini di bina pada tahun 1964 yang mempunyai keluasan kira-kira 12 kilometer persegi dan mempunyai kapasiti simpanan 0.14 mcm.

Tujuan utama empangan ini adalah menyediakan air pengairan untuk penanaman sekali setahun kepada kira-kira 405 hektar sawah di kawasan bohor dan 202 hektar lagi di kawasan Padang Gaong, Langkawi.

Di samping pembekalan pengairan, air dalam takungan dipamkan ke storan berpermatang dengan kapasiti 5mcm yang terletak bersebelahan dengan empangan.

Selain itu empangan ini bertujuan untuk membekalkan air domestik dan perindustrian bagi seluruh kawasan Pulau Langkawi.

Dengan penyusutan itu bakal menjejaskan aktiviti harian penduduk di sekitar pulau lagenda itu dimana terpaksa menanti bekalan air bersih daripada tanah besar.

Dalam pada itu Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan mula mengepam air di Tasik Ayer Keroh bermula Isnin ini bagi memastikan melaka tidak berlaku krisis air.

Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Ir Mohd Khalid Nasir berkata, air berkenaan akan dipam masuk ke Sungai Melaka bagi menampung keperluan penduduk negeri.

Setakat ini, SAMB bertindak mengepam dua kolam dari Kesang, Jasin sejak 14 Februari lalu rentetan keadaan cuaca panas dan tidak hujan yang melanda negeri sejak Januari.

Beliau yang ditemui ketika melakukan lawatan di Empangan Durian Tunggal, Melaka berkata, paras empangan berkenaan kini di tahap bacaan 69.8 peratus dan direkodkan penurunan berlaku diantara 0.3 hingga 0.5 peratus setiap hari.

Keadaan itu sekali gus menjelaskan Melaka masih tidak mengalami krisis air rentetan pihak SAMB turut bertindak awal mengepam air dari Sungai Gerisek, Muar dengan menggunakan empat pam.

Bagaimanapun, sekiranya tiada hujan sehingga penghujung Mac, empangan berkenaan akan di paras bacaan 50 peratus iaitu di peringkat kritikal.

Beliau turut menasihati penduduk supaya menggunakan air secara berhemah dalam keadaan cuaca kemarau kini.

Sementara itu di Negeri Sembilan, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) mendedahkan punca sebenarnya krisis air yang berlaku khususnya di seremban barat seperti sendayan.

Gangguan berkenaan sebenarnya sudah bermula sejak disember tahun lalu apabila negeri kurang mendapat taburan hujan selain musim panas sejak januari.

Bagaimanapun, SAINS telah menyediakan 11 lori tangki dan 35 tangki statik sebagai persediaan sekiranya ketiadaan air.

Namun, semalam lebih kurang 70 peratus daripada 3,000 isi rumah sudah menerima semula bekalan air.