PRN Sabah: Dakwaan rasuah terhadap pimpinan PBS taktik lemahkan sokongan - Joniston

Joniston (gambar) berkata, para pemimpin akar umbi dan ahli-ahli parti perlu kekal bersatu dan komited bersedia menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Parti Bersatu Sabah (PBS) menggesa semua ahlinya untuk kekal fokus dan tidak terpengaruh dengan dakwaan berunsur politik yang menyasarkan kepimpinan parti itu.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, para pemimpin akar umbi dan ahli-ahli parti perlu kekal bersatu dan komited bersedia menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November ini.
Menurutnya, dakwaan rasuah yang mengaitkan Pemangku Presiden, Datuk Seri Joachim Gunsalam dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Jahid Jahim dilihat sebagai usaha pihak tertentu untuk mengalih perhatian menjelang pilihan raya.
“Pemangku Presiden dan Timbalan Presiden telah memberikan penjelasan mereka, dan saya yakin para pemimpin di semua peringkat serta ahli dan penyokong parti tetap teguh bersama PBS.“Kita anggap dakwaan ini sebagai agenda bermotifkan politik untuk melemahkan parti, dan kita tidak seharusnya terpengaruh dengan agenda tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Joniston, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, menegaskan PBS tetap berpegang pada nilai akauntabiliti, kejujuran dan ketelusan dalam perjuangan politiknya.
“Walaupun ada pihak cuba menjadikan isu ini sebagai senjata politik, PBS akan terus fokus kepada perkara yang lebih penting iaitu berkhidmat kepada rakyat dan meraih kepercayaan mereka,” katanya.
PBS, katanya, akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat dan memastikan pembangunan serta peluang sampai ke seluruh pelosok Sabah di bawah pentadbiran GRS.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami