PARIS: Kedutaan Besar Malaysia di sini merancang mengadakan sesi libat urus strategik bersama ejen-ejen pelancongan Perancis bagi mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026.
Usaha itu bertujuan memperkenalkan Perlis sebagai destinasi pelancongan baharu di utara Malaysia kepada pasaran Eropah.
Advertisement
Menurut Kedutaan Besar Malaysia, inisiatif tersebut akan digerakkan seiring promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang kini dipergiat menerusi penganjuran pelbagai acara berprestij di seluruh Perancis, termasuk Festival Makanan Malaysia, Malaysia Open Day serta resepsi rasmi yang menampilkan seni, budaya dan warisan negara.
Kedutaan turut memaklumkan, perbincangan sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan dan pempengaruh media Perancis, khususnya bagi menjayakan diplomasi makanan.
Antara hidangan unik yang akan diperkenalkan ialah Kurma Daging Perlis.
Maklumat tersebut dipersembah maklum Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada Majlis Pelancaran Promosi Masakan Perlis di sini.
Turut berangkat, anakanda-anakanda baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Hadir sama, Setiausaha Pertama Mohd Nizam Halimi dan Setiausaha Kedua Aida Anum Aminuddin.
Inisiatif promosi ini dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Paris bersama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), dengan sokongan Yayasan Harmoni serta Duwan Easy Eat.
Usaha bersepadu itu bertujuan memperkenalkan identiti rasa dan keistimewaan makanan tradisional Perlis kepada masyarakat antarabangsa.
Dalam majlis berkenaan, Tuanku Raja Muda turut mempelawa rakyat Perancis mempertimbangkan Perlis sebagai destinasi pilihan baharu yang menawarkan pengalaman berbeza — tenang, autentik dan jauh daripada kesibukan pelancongan massa.
Perlis juga menampilkan landskap desa mempesonakan serta aktiviti luar yang mendamaikan.
Sementara itu, Eldeen memaklumkan, Malaysia mencatat peningkatan 40 peratus ketibaan pelancong dari Perancis pada tahun 2025.
Beliau menyifatkan perkembangan itu hasil usaha konsisten Kedutaan bersama Tourism Malaysia, agensi-agensi Malaysia di Perancis serta Malaysia Airlines dalam memperkukuh promosi negara.