HAMBURG: Anggapan Kesatuan Eropah (EU) mengenai amalan dalam industri sawit negara adalah meleset dan tidak berdasarkan kepada perkembangan terkini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hal itu menjadi antara isu yang dijelaskan kepada Jerman sebagai tindakan meningkatkan kembali perdagangan sawit ke EU.

“Ada isu Peraturan Nyahhutan EU (EUDR). Itu isu kontroversi dengan Jerman dan Eropah sekian lama. Kita bagi tahu kritikan Eropah kadang-kadang meleset.

“Tidak ada penebangan hutan meluas seperti dahulu, dan kawasan gambut yang menyebabkan pelepasan karbon tinggi yang menjadi tapak kelapa sawit telah dihentikan bertahun-tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media terakhir sebelum mengakhiri lawatan rasmi di Jerman pada Jumaat.

Menyentuh mengenai kerjasama ekonomi, Perdana Menteri berkata Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan baharu bernilai RM45.4 bilion daripada tujuh syarikat Eropah bagi jangka masa lima hingga 10 tahun.

“X-Fab, Schott Glass dan Melexis, yang menetapkan dan luluskan RM4.45 billion, dijangka jana 1,000 peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Selain itu, Malaysia juga memperoleh tambahan RM1.4 bilion daripada Airbus untuk hasil potensi jualan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke Jerman dalam sektor aeroangkasa bagi tempoh lima tahun akan datang.

Untuk rekod, Airbus telah menyumbang perbelanjaan import terkumpul sebanyak RM1.86 bilion kepada ekonomi Malaysia sepanjang tiga tahun lalu.

“Maknanya, apa yang menarik, politik stabil, dasar hijau transisi tenaga, penyelidikan dalam hidrogen dan solar.

“Apabila kita tekankan perkara ini dengan sendirinya tarik perhatian mereka untuk labur di Malaysia,” jelas Anwar berkaitan peningkatan kerjasama ekonomi yang dijana.

Delegasi Malaysia juga telah mengadakan perjumpaan dengan syarikat Nexperia di sini hari ini. Menurut Perdana Menteri lebih banyak pelaburan akan disumbangkan kepada negara oleh syarikat berkenaan.

“Kita sempat jumpa dengan Nexperia, syarikat yang telah bertapak dulunya Philips di Seremban dan pusat penyelidikan di Pulau Pinang.

“Mereka beri gambaran kesediaan dalam masa singkat untuk jadikan Malaysia pusat pelaburan utama. mudah-mudahan jentera kerajaan dapat laksanakan dengan pantas dan cekap untuk tarik pelubran,” ujarnya.