KUALA LUMPUR: Era pandemik COVID-19 yang berlaku di serata dunia membuktikan bahawa sistem negara perlu dimulakan kembali atau ‘reset’, jelas Tan Sri Nazir Razak.

Pengerusi Ikhlas Capital itu turut mempersoalkan, “kegagalan yang dilihat berlaku dalam memacu negara ke hadapan ini berpunca daripada sistem yang lemah atau pemimpin yang lemah?”

“Penanda aras bagi saya adalah, jumlah orang yang baik dan mulia yang saya kenali dan telah menceburi arena politik dengan niat murni mendapati diri mereka terpaksa berkompromi atau tidak mampu untuk mencapai banyak perkara, atau lebih kerap, kedua-duanya sekali.

“Kita juga telah melihat bahawa sejak 1990-an banyak pentadbiran telah cuba membuat pembaharuan sistem tetapi gagal.

“Dan sejak empat tahun lalu, kita mempunyai empat Perdana Menteri yang berbeza walaupun hanya keluar mengundi sekali.

“Sukar untuk tidak membuat kesimpulan bahawa sistem kita adalah masalah sebenar. Pemimpin baharu, kerajaan baharu, malah Pilihan Raya Umum ke-15 tidak mungkin menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: Bukan sahaja pemimpin, seluruh sistem kita bermasalah - Nazir Razak 

BACA: Nazir Razak, 54 tokoh cadang wujudkan "Better Malaysia Assembly" 


Bekas Pengerusi Kumpulan CIMB itu pada masa sama, turut mempertikaikan satu sistem baharu sangat diperlukan dalam mendorong kestabilan politik, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan kadar kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan masyarakat.

“Tetapi sistem itu juga mempunyai kesan sampingan negatif, iaitu rasuah yang memuncak, masalah politik identiti, dan perebutan kuasa yang semakin menjadi-jadi apabila sistem itu berpanjangan.

“Kesan sampingan negatif ini memberi kesan kepada satu sama lain dan menjadi nadi kepada masalah sistem pemerintahan Malaysia hari ini,” ujarnya lagi.