Semata-mata mahu mengejar pakej murah merupakan antara sebab jemaah umrah menjadi mangsa penipuan, kata Penaung Skuad Mubaligh Malaysia, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Beliau berkata ia juga berpunca daripada keghairahan dan sikap sambil lewa bakal jemaah yang tidak mengambil berat mengenai maklumat terperinci perjalanan mereka ke tanah suci.

"Tidak boleh jika ada ejen pengembaraan hanya memberitahu mengenai jadual penerbangan, masa dan tarikh terbang balik. Jemaah perlu tahu semua maklumat terperinci.

"Kenapa tidak ditanya tentang pesawat, tempat penginapan Makkah. Semua maklumat terperinci perlu diambil tahu," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan media mengenai 3,714 bakal jemaah ditipu syarikat pengendali umrah sejak empat tahun lepas yang membabitkan kerugian mencecah RM30.8 juta.

Kes terbaharu berlaku pada 13 Dis lepas membabitkan kira-kira 200 jemaah yang terkandas di sebuah hotel di Nilai susulan penerbangan mereka ditangguhkan berikutan permit kebenaran pesawat mendarat masih belum diperoleh syarikat penerbangan sewa khas tersebut.

Mohd Farid yang juga Pengarah Penyelidikan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berkata selain pakej murah, pakej umrah yang menawarkan diskaun juga perlu dihindari bakal jemaah.

"Ada pakej yang menawarkan diskaun, contohnya pakej RM6,000 dan diberi diskaun RM2,000. Namun selepas RM4,000 dibayar, pengendali pakej pun lesap," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan senarai pesawat yang telah diberi kebenaran untuk mendarat di tanah suci.

Bakal jemaah juga perlu memeriksa rekod sesebuah syarikat pengendali umrah sebelum memilihnya, katanya.

"Jemaah juga boleh malayari laman web Kementerian Pelancongan untuk melihat senarai ejen pengembaraan yang diiktiraf dan tidak bermasalah," tambahnya.

-- BERNAMA