Kemenangan Mohd Faiz Subri di Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 disifatkan sebagai pengubat luka kepada prestasi bola sepak negara yang agak hambar buat masa ini.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berharap, kejayaan penyerang Pulau Pinang itu juga dapat menjadi suntikan semangat kepada pemain bola sepak tempatan lain.

"Saya rasa dengan kemenangan Mohd Faiz, ia dapat mengharumkan nama negara dan menjadi 'panadol' kepada prestasi bola sepak negara yang berada pada ranking terlalu jauh."

"Ini satu pencapaian yang baik dan saya harap ia dapat melonjak semangat pemain-pemain bola sepak profesional yang lain.

"Ini membuktikan bahawa sesuatu itu adalah tidak mustahil serta boleh dicapai bukan sahaja oleh Faiz. Pemain-pemain bola sepak yang lain mesti bersikap profesional dan melakukan yang terbaik, bukan saja hari-hari sibuk soal nak gaji tinggi tetapi usaha tingkatkan prestasi."

"Bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan badan gabungan, kemenangan Mohd Faiz bukan untuk dirayakan, tetapi perlu dijadikan iktibar untuk membawa bola sepak negara ke tahap lebih tinggi," katanya ketika ditemui pemberita di sidang media di Ibu Pejabat MARA di sini, hari ini.

Mohd Faiz dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 dalam satu majlis di Zurich, Switzerland awal pagi tadi waktu Malaysia bagi jaringan tercantik menerusi sepakan percuma ketika perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada saingan Liga Super, 16 Feb tahun lepas.