MALAYSIA
Kejayaan rundingan konflik Thailand-Kemboja berasaskan usaha kolektif- PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Kejayaan rundingan perdamaian dan gencatan senjata dalam konflik sempadan Thailand-Kemboja merupakan hasil tanggungjawab pelbagai pihak, termasuk kepimpinan ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Rundingan damai Thailand-Kemboja berjaya dicapai hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Mohamad Hasan dan Panglima ATM Jeneral Mohd Nizam Jaffar, serta sokongan kepimpinan ASEAN.
- Gencatan senjata berkuat kuasa 28 Julai 2025 dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan AM (GBC), dengan kedua-dua negara bersetuju tidak menambah kekuatan ketenteraan di sempadan.
- Kejayaan Malaysia sebagai pemudah cara diplomatik mendapat pujian antarabangsa termasuk dari Presiden AS Donald Trump dan China, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia dalam keamanan serantau ASEAN.
"Saya menjalankan tugas saya, Menteri Luar berhubung dengan rakan sejawatannya, jeneral dengan jeneral, barulah kita dapat mencapai rundingan perdamaian yang julung-julung kali berlaku dengan cepat, Alhamdulillah," katanya pada Program Rancakkan MADANI Kelantan di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, hari ini.
Anwar turut memaklumkan kejayaan rundingan itu mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump, yang menghubunginya untuk mengucapkan terima kasih atas usaha tersebut.
"Trump menghubungi saya dan mengucapkan terima kasih, tetapi saya beritahu bahawa rundingan damai ini bukan usaha saya seorang sahaja, sebaliknya hasil kerjasama pemimpin ASEAN lain serta kerajaan Thailand dan Kemboja yang turut bertanggungjawab," katanya.
Rabu lepas, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata yang dicapai pada 28 Julai dengan teguh di sepanjang sempadan bersama mereka, dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan anggota tentera sedia ada serta tidak menambah kekuatan ketenteraan.
Persetujuan itu dicapai semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan AM (GBC) Luar Biasa di Wisma Perwira di sini yang dipengerusikan secara bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Nattaphon Narphanit.
Pada 28 Julai, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata berkuat kuasa tengah malam hari yang sama hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Ketegangan memuncak sejak 28 Mei lepas berikutan insiden pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami