Empat lelaki ditahan susulan kejadian seorang lelaki dipukul kerana didakwa membunyikan hon di hadapan Surau Taman Austin Perdana, di sini ketika solat Jumaat semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kes kini disiasat mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Katanya pasukan polis telah menahan empat lelaki berumur 21 hingga 55 tahun pada jam 1 pagi tadi.

Kamarul turut mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan dan mengeluarkan apa-apa komen yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang degil dan meminta semua pihak agar bertolak ansur.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih degil dengan menyemarakkan api kemarahan," katanya.

Kejadian dipercayai berpunca daripada kesesakan lalu lintas di kawasan itu sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan seorang pemandu yang bertindak membunyikan hon ketika solat Jumaat sedang berlangsung.

Video insiden yang diviralkan memaparkan sekumpulan lelaki didapati merusuh dan memukul pemandu terbabit.